Urus harta pusaka ikut hukum faraid, elak pertelingkahan dalam keluarga

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH...Najarudin (tengah) menerima cenderahati daripada Mohamed Ali Raya sambil disaksikan oleh Abdul Kadir Hamali (kiri).

SIBU: Pengurusan harta pusaka menurut hukum faraid adalah bagi mengelak pertelingkahan dalam keluarga, kata Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Najarudin Nedri.

Katanya, pengurusan harta pusaka menurut hukum faraid ialah proses mengurus dan membahagikan harta si mati mengikut syariat Islam.

“Pembahagian tidak boleh dibuat sesuka hati, tetapi hendaklah mengikut tertib yang telah ditetapkan.

“Hikmah faraid ialah untuk menjamin keadilan kepada semua waris,” katanya pada ceramah khas bertajuk ‘Pengurusan Harta Pusaka’ di Masjid Darul Istiqomah, Jalan Sukun di sini malam tadi.

Hukum Faraid ialah sistem pembahagian harta pusaka orang Islam selepas kematian mengikut syarak.

Menurut Najarudin hukum faraid juga bertujuan untuk memelihara hak setiap waris sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah SWT.

“Ilmu faraid merupakan salah satu cabang ilmu yang sangat penting kerana ia melibatkan hak-hak waris dan amanah terhadap harta peninggalan si mati,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Masjid Darul Istiqomah, Mohamed Ali Raya dan Abdul Kadir Hamali dari Takaful Malaysia.

Oleh Othman Ishak