Krisis Asia Barat: Stok beras negara stabil, cukup bagi tempoh enam bulan

Facebook
WhatsApp
Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Stok fizikal beras negara berada pada tahap stabil dan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat selama sekitar enam bulan, dengan jumlah keseluruhan mencecah 1.237 juta tan metrik, memperkukuh kesiapsiagaan negara berdepan kemungkinan impak pergolakan geopolitik di Asia Barat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata jumlah itu merangkumi 200,000 tan metrik stok penimbal beras negara dan 1.037 juta tan metrik stok dagangan.

“Kita mengekalkan stok penimbal beras fizikal yang dikendalikan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta stok dagangan yang mampu bertahan sekurang-kurangnya enam bulan sekiranya berlaku krisis bekalan global,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkenaan langkah kesiapsiagaan negara mengekalkan stok penimbal makanan ruji dalam menghadapi krisis geopolitik antarabangsa.

Chan berkata mekanisme kawalan bekalan itu turut disokong oleh pemberian subsidi kerajaan bagi mengawal harga beras putih tempatan, sekali gus menjadikannya penampan harga yang stabil berbanding komoditi lain apabila berlaku lonjakan harga dalam pasaran luar.  

Mengenai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras negara sebanyak 80 peratus menjelang 2030, Chan berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil langkah proaktif dengan memperluas penggunaan varieti padi rintang kemarau baharu.

Ini susulan wujud jurang peratusan SSR yang perlu ditangani berikutan trend penurunan pengeluaran dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan ancaman fenomena El Nino.

“Salah satu cara untuk menangani masalah ini ialah memperluaskan penggunaan varieti padi tahan kemarau seperti MR 380, MR 381 dan MR 382. Kita juga mahu melaksanakan amalan pengurusan air di ladang seperti Pengeringan dan Pembasahan Berselang (Alternate Wetting and Drying, AWD) serta Sistem Intensifikasi Padi (System of Rice Intensification, SRI),” katanya.

Beliau berkata KPKM turut melaksanakan projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan penaiktarafan sistem pengairan pertanian.

Dalam pada itu, beliau berkata KPKM turut melaksanakan beberapa langkah jangka pendek bagi mengurangkan beban kos input pertanian yang menanggung kenaikan harga.

Antaranya termasuk memberikan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sementara bagi baja pertanian seperti fosfat batuan dan magnesium sulfat bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.

Selain itu, beliau berkata insentif pembajakan kepada pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 turut dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar, melibatkan peruntukan tambahan sekitar RM40 juta yang memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah. – Bernama

Indonesia keluar amaran ombak tinggi

JAKARTA: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) hari ini mengeluarkan amaran ombak setinggi sehingga empat meter di beberapa perairan