Buaya jantan 4.2 meter berjaya ditangkap di Sungai Krian

Facebook
WhatsApp
OPERASI memburu buaya yang memasuki hari ke-14 di Sungai Krian berjaya menangkap seekor buaya jantan berukuran panjang 4.2 meter dan lebar 0.7 meter di kawasan Sungai berhampiran SK Perpat. Foto Edisi Kalaka

SARATOK: Operasi memburu buaya yang memasuki hari ke-14 membuahkan hasil apabila seekor buaya jantan sepanjang 4.2 meter dengan lebar kira-kira 0.7 meter berjaya ditangkap oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Sarikei dengan bantuan penduduk kampung, hari ini.

Kejayaan itu dicapai selepas reptilia berkenaan memakan umpan yang dipasang di kawasan sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Perpat kira-kira 2.30 petang sebelum berjaya ditangkap sekitar 7.00 malam ini.

Buaya berkenaan dipercayai merupakan antara reptilia yang kerap dilihat muncul di kawasan sungai berhampiran sekolah, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Tangkapan terbaharu itu menyusuli kejayaan SFC pada 28 Julai lalu apabila seekor lagi buaya jantan sepanjang 3.6 meter berjaya ditangkap selepas memakan umpan yang dipasang di kawasan Tanjung Lubuk Nibong.

Lokasi tersebut merupakan kawasan berlakunya insiden serangan buaya baru-baru ini yang mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat terhadap keselamatan ketika menjalankan aktiviti di sungai.

Dengan tangkapan terbaharu itu, jumlah keseluruhan buaya yang berjaya ditangkap sepanjang tempoh 14 hari operasi kini meningkat kepada empat ekor.

Operasi khas berkenaan dilancarkan susulan ancaman buaya yang semakin membimbangkan di Sungai Krian, khususnya selepas kejadian serangan terhadap seorang nelayan pada 20 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, nelayan tempatan terbabit bernasib baik apabila terselamat daripada menjadi mangsa serangan buaya ketika berada di Sungai Krian berhampiran Rumah Galing, Lubok Nibong.

Insiden tersebut meningkatkan kebimbangan penduduk yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki serta laluan utama untuk menjalankan aktiviti harian.

SFC dijangka meneruskan operasi pemantauan dan pemasangan umpan di beberapa lokasi yang dikenal pasti bagi mengurangkan risiko ancaman buaya, di samping menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mengelakkan aktiviti di kawasan sungai yang berisiko tinggi.

Oleh Adi Safarman

Indonesia keluar amaran ombak tinggi

JAKARTA: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) hari ini mengeluarkan amaran ombak setinggi sehingga empat meter di beberapa perairan