LUNDU: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah keluarganya di Kampung Jangkar, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu berhubung kejadian itu pada 6.51 petang tadi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu yang diketuai PBT II Joseph Dhea dikerahkan ke lokasi bersama sebuah jentera Bomba Penyelamat Kompak (CFRT), sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 7.28 malam bagi mendapatkan maklumat awal sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Berdasarkan maklumat keluarga, mangsa yang berusia 35 dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga pada kira-kira 11.00 malam, 3 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kali terakhir dilihat memakai seluar jersi pendek berwarna gelap dan baju berwarna gelap.
Katanya, keluarga bersama penduduk kampung telah menjalankan usaha mencari mangsa, namun wanita berkenaan masih belum ditemui sebelum laporan polis dibuat.
Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).





