JAKARTA: Pesawat Airbus A380-800 milik Emirates, pesawat penumpang komersial terbesar di dunia, dijadual membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, pada 8 Ogos sempena jelajah bola sepak pramusim Chelsea dan AC Milan.
Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Heru Karyadi menyifatkan ketibaan Emirates Airbus A380-800 sebagai satu pencapaian penting, selain menegaskan kesiapsiagaan lapangan terbang itu untuk mengendalikan pesawat Kategori F mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Kami telah memastikan semua aspek operasi, daripada kesiapsiagaan infrastruktur kawasan udara dan darat serta prosedur perkhidmatan hingga penyelarasan dengan pihak berkuasa, AirNav Indonesia, penyedia perkhidmatan pengendalian darat dan semua pihak berkepentingan berkaitan, berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pengendali lapangan terbang PT Angkasa Pura Indonesia (InJourney Airports) pada Selasa.
Penerbangan Emirates EK358 dari Dubai dijadual tiba di Soekarno-Hatta pada 10.25 malam waktu tempatan pada 8 Ogos sebelum berlepas semula ke Dubai pada 12.45 tengah malam, 9 Ogos.
Heru berkata tiga landasan lapangan terbang itu serta infrastruktur sokongan di kawasan udara dilengkapi sepenuhnya untuk menerima pesawat berkenaan, termasuk dua landasan sepanjang 3,660 meter dan satu landasan sepanjang 3,600 meter, selain laluan teksi selari, kawasan parkir pesawat dan infrastruktur lain yang mampu mengendalikan pesawat Kategori F ICAO.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Setiausaha Korporat InJourney Airports Arie Ahsanurrohim berkata Airbus A380-800 hanya akan beroperasi pada 8 Ogos dan tiada perkhidmatan tetap Emirates menggunakan pesawat itu dijadualkan ke Soekarno-Hatta selepas operasi khas berkenaan.
Menurut Airbus, A380 mempunyai reka bentuk dua tingkat penuh dengan panjang 73 meter dan lebar rentang sayap 79.8 meter, serta diperakui mampu membawa sehingga 853 penumpang dalam konfigurasi kelas ekonomi sepenuhnya.
– Bernama





