PADAWAN: Polis Daerah Padawan akan meningkatkan kehadiran anggota di seluruh daerah sebagai antara strategi utama membanteras jenayah, khususnya kes dadah, pecah rumah dan kecurian.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William berkata, pendekatan itu akan diperkukuh menerusi rondaan dan operasi berterusan bagi memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.
Menurut beliau, fokus utama pasukannya ketika ini adalah memburu individu yang terlibat dalam jenayah dadah, pecah rumah dan kecurian kerana kesalahan tersebut memberi impak besar kepada keselamatan penduduk.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk menggerakkan anggota saya memburu dan menangkap penjenayah yang terlibat dalam kes seperti ini. Fokus saya ialah jenayah dadah, pecah rumah dan kecurian, di samping memperkukuh operasi di lapangan serta usaha pencegahan jenayah,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.
Beliau berkata, peningkatan kehadiran anggota polis di kawasan tumpuan merupakan pendekatan yang telah lama diamalkan dan terbukti berkesan dalam mencegah jenayah sebelum ia berlaku.

“Kami akan terus mempertingkat kehadiran anggota polis di seluruh daerah bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis, selain mengurangkan peluang jenayah berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Padawan turut memperhebat usaha meningkatkan kesedaran orang ramai menerusi Program Ramah Mesra Pencegahan Jenayah Komersil di sekitar Daerah Padawan.
Program yang disertai kira-kira 20 individu itu memberi pendedahan mengenai pelbagai bentuk jenayah komersil, termasuk penipuan e-dagang, panggilan telefon, pelaburan dan pinjaman tidak wujud serta penyalahgunaan akaun keldai.
Pegawai BSJKD turut menerangkan fungsi bahagian tersebut serta berkongsi langkah-langkah pencegahan supaya orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian dan jenayah siber.
Selain sesi penerangan, risalah berkaitan kesedaran jenayah siber dan trend terkini jenayah komersil turut diedarkan sebagai usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah semasa.
Oleh Connie Chieng





