Pusat Penjaja Kabong bakal dinaik taraf, tingkat keselesaan peniaga dan pengunjung

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir semasa menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penjaja Kabong Sesi 2026 yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Kabong, semalam. Foto: ADUN Kabong

KABONG: Persatuan Penjaja Kabong terus memainkan peranan penting sebagai platform yang menyatukan komuniti penjaja di daerah ini, sekali gus menjadi pemangkin dalam memperkasa sosioekonomi masyarakat menerusi pembangunan keusahawanan yang lebih tersusun dan berdaya saing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, kewujudan persatuan itu bukan sahaja menjadi medium memperjuangkan kebajikan para penjaja, malah berfungsi sebagai rakan strategik kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.

Menurut beliau, semangat kerjasama dalam kalangan ahli persatuan perlu terus diperkukuhkan agar pelbagai inisiatif pembangunan dan program keusahawanan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan demi manfaat bersama.

Beliau turut menggalakkan para penjaja supaya berani mengadaptasi teknologi digital dalam urusan perniagaan, termasuk memanfaatkan platform media sosial, sistem pembayaran tanpa tunai dan pemasaran digital bagi memperluaskan pasaran serta meningkatkan daya saing.

“Perubahan landskap perniagaan memerlukan para usahawan sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan teknologi semasa supaya mampu menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penjaja Kabong Sesi 2026 yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Kabong, dekat sini semalam.

Dalam pada itu, Chee Kadir memaklumkan projek menaik taraf kemudahan di kawasan Pusat Penjaja Kabong, termasuk kerja pembinaan, penambahbaikan sistem perparitan dan pemasangan lampu, akan ditender di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Beliau berkata, projek berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih selesa, selamat dan kondusif, sekali gus memberi manfaat kepada para penjaja serta pengunjung.

Selain pembangunan fizikal, beliau turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan kawasan pusat penjaja kerana aspek tersebut menjadi faktor utama dalam meningkatkan keyakinan pelanggan serta memperkukuhkan imej pusat penjaja sebagai destinasi pilihan.

Pada masa sama, Chee Kadir menyarankan agar Persatuan Penjaja Kabong lebih proaktif merancang pelbagai aktiviti dan program yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke pusat penjaja, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan kecil.

“Saya berharap persatuan ini akan terus memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahlinya serta memainkan peranan lebih besar sebagai pemangkin pembangunan keusahawanan tempatan demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan ekonomi DUN Kabong,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Penjaja Kabong, Melati Buang, dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada ADUN Kabong atas sokongan berterusan yang diberikan terhadap pembangunan dan kebajikan komuniti penjaja di Kabong.

Turut hadir, Penghulu Sani Mohamad, Kaunselor Ulin Tabur, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) serta ahli-ahli Persatuan Penjaja Kabong.

Oleh Adi Safarman