KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa penyiasat penipuan kewangan Richard Templeman, tidak dapat mengesan sama ada dana sebanyak AS$620 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dipulangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ke akaun Tanore Finance Corporation (Tanore) kemudiannya disalurkan kembali kepada bekas perdana menteri tersebut.
Templeman, penyiasat yang berpangkalan di United Kingdom itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan saman sivil bernilai AS$5.64 bilion oleh 1MDB terhadap Najib dan enam individu lain.
Muhammad Shafee: Adakah anda mengesan sama ada wang AS$620 juta itu telah dilencongkan dan kembali kepada Najib?
Templeman: tidak.
Muhammad Shafee kemudiannya mencadangkan bahawa siasatan sedemikian adalah amat penting, memandangkan peranan Templeman sebagai pakar penyiasat penipuan, namun saksi pertama plaintif itu berkata beliau hanya meneliti penyata bank yang berkaitan dan tidak mempunyai pengetahuan sama ada dana tersebut kemudiannya disalurkan kembali kepada Najib.
Peguam itu selanjutnya mengemukakan kepada Templeman bahawa tiada bukti yang menunjukkan wang AS$620 juta tersebut, selepas dipulangkan oleh Najib ke akaun Tanore, telah disalurkan kembali kepadanya. Templeman bersetuju dengan saranan itu dan menjawab, “Ya”.
Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang bukti bahawa AS$620 juta tersebut kemudiannya disalurkan kembali kepada Najib, Templeman menjawab bahawa beliau tidak mempunyainya.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus itu bersambung esok.
1MDB dan anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.
Mereka menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas peguam Jasmine Loo Ai Swan, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bekas Ketua Pegawai Operasi Radhi Mohamad, bekas Pengarah Pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
Kesemua plaintif, antara lain mendakwa bahawa defendan telah melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa serta bersekongkol dan menyeleweng dana 1MDB.
Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.4 bilion terhadap Najib, 73, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB. – Bernama





