MIRI: Seorang lelaki cedera pada kaki kiri selepas pacuan empat roda dipandunya merempuh tiga kenderaan yang diparkir di bahu jalan dalam kemalangan di Jalan Lutong–Kuala Baram di sini, petang ini.
Dalam kejadian sekitar 4.54 petang itu, mangsa dipercayai mengantuk sebelum hilang kawalan lalu melanggar tiga kenderaan yang berada di bahu jalan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.54 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dikejarkan ke lokasi.

“Jentera tiba di lokasi pada 4.56 petang dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melanggar tiga kenderaan diparkir di bahu jalan.
“Akibat kejadian itu, pemandu mengalami kecederaan pada kaki kiri dan disyaki mengantuk semasa memandu,” katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut, manakala punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Liong Chai Ling





