SIMANGGANG: Seekor ular sawa sepanjang tiga meter berjaya ditangkap anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman selepas ditemui berada di dalam reban ayam milik seorang penduduk di Kampung Sutong Baru, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.50 pagi sebelum sebuah pasukan operasi digerakkan ke lokasi yang terletak lima kilometer dari balai.
Operasi berkenaan diketuai Komander Operasi, Remio Babah, dengan kekuatan sebuah van Urvan bersama tiga anggota, manakala maklumat awal kejadian diterima daripada pengadu dikenali sebagai Doyle.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan awal dan mengesahkan kehadiran seekor ular sawa sepanjang tiga meter di dalam reban ayam berkenaan yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk serta ternakan.

Pasukan operasi kemudiannya memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum melaksanakan operasi menangkap reptilia itu menggunakan teknik yang bersesuaian bagi memastikan ia dapat dikawal dengan selamat tanpa membahayakan orang awam.
Hasil tindakan pantas anggota bomba, ular sawa berkenaan berjaya ditangkap sepenuhnya dan keadaan di lokasi kembali selamat.
Tiada kecederaan dilaporkan sepanjang operasi berkenaan dan tiada agensi lain terbabit.
Operasi khidmat khas itu berjaya diselesaikan dengan lancar menerusi tindakan profesional anggota BBP Sri Aman, sekali gus mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak bomba sekiranya menemui haiwan berbisa atau hidupan liar yang boleh mengancam keselamatan.
Oleh Adi Safarman





