Perahu tambang elektrik perkasa pelancongan hijau di Sungai Sarawak

Facebook
WhatsApp
DITEMUI MEDIA…Datuk Abdul Rahman Junaidi ditemui media selepas majlis penyerahan siap projek menaik taraf Jeti Kampung Boyan-Gersik di Kuching, hari ini. Foto Norman B

PETRA JAYA: Hampir 20 perahu tambang yang beroperasi di Sungai Sarawak kini menggunakan enjin elektrik (e-engine), sekali gus menyokong usaha kerajaan Sarawak memperkukuh sistem pengangkutan air yang lebih mesra alam dan mampan.

Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam, Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, penggunaan e-engine membolehkan majoriti perahu tambang di Sungai Sarawak tidak lagi bergantung kepada enjin diesel.

Menurut beliau, kemudahan pengecasan yang disediakan membolehkan operasi perahu tambang elektrik dilaksanakan dengan lebih cekap dan berterusan.

“Hari ini, majoriti perahu tambang di Sungai Sarawak tidak lagi menggunakan minyak diesel, sebaliknya beralih kepada e-engine selaras dengan usaha kerajaan menjaga kelestarian alam sekitar.

“Pengguna juga dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa kerana tiada pencemaran bunyi, asap atau bau seperti yang berlaku ketika menggunakan enjin konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan siap projek menaik taraf Jeti Kampung Boyan-Gersik, di sini, hari ini.

PERAHU tambang elektrik berlabuh di Jeti Kampung Boyan-Gersik yang siap dinaik taraf, sekali gus memperkukuh penggunaan pengangkutan air yang lebih mesra alam di Sungai Sarawak. Foto Norman B

Abdul Rahman berkata, penggunaan perahu tambang elektrik bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah meningkatkan keselesaan penumpang serta memperkukuh imej Sungai Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengangkutan air moden dan lestari.

Menurut beliau, inisiatif itu turut menyokong usaha kerajaan mempromosikan kawasan tebingan Kuching dan sekitarnya sebagai destinasi pelancongan yang lebih mesra alam.

“Inilah antara keistimewaan yang kita ada di kawasan ini dan ia menjadikan tebingan Kuching serta Sungai Sarawak lebih menarik sebagai produk pelancongan.

“Selepas Boyan, kita sudah mempunyai pangkalan ponton di Kampung Gersik dan projek seterusnya ialah membina sebuah lagi pangkalan ponton di Kampung Sourabaya,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan tiga pangkalan ponton di Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya akan melengkapkan rangkaian kemudahan perahu tambang di kawasan tersebut, sekali gus meningkatkan keselesaan penduduk, pengunjung dan pelancong yang menggunakan pengangkutan air sebagai laluan harian serta tarikan pelancongan.

Oleh Norman B