KUALA LUMPUR: Pelaksanaan reformasi kesihatan melalui penggubalan sesuatu dasar perlu berpaksikan data tepat dan berasaskan bukti bagi memastikan dasar dilaksanakan terus mengukuhkan ekosistem kesihatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang berlatarbelakangkan pendidikan dan latihan toksikologi, berkata pendekatan itu selari dengan falsafah asas toksikologi iaitu dos menentukan sama ada sesuatu itu penawar atau racun.
“Sama seperti disiplin toksikologi, kita tidak boleh sekadar merawat simptom di luaran, sebaliknya perlu mengenal pasti dan merawat punca akar. Falsafah inilah yang memacu kuat agenda reformasi kesihatan KKM pada hari ini.
“Kita tidak lagi menampal isu-isu struktur dengan penyelesaian kosmetik sementara, tetapi kita laksanakan penawar yang sebenar merangkumi pendigitalan sistem menyeluruh, reformasi pembiayaan kesihatan yang mampan, serta pembelaan kebajikan sumber manusia barisan hadapan,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas merasmikan Kongres Antarabangsa Toksikologi Asia Ke-11 (ASIATOX-XI) di sini, hari ini.
Mengenai kongres berkenaan, Dzulkefly berkata beliau berbesar hati kerana buat julung kali Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi persidangan berprestij itu menghimpunkan sekitar 300 delegasi dari seluruh dunia, hasil usaha sama The Malaysian Society of Toxicology (MySOT), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH).
Beliau berkata kongres itu turut melakar sejarah melalui pelancaran inisiatif Ahli Toksikologi Berdaftar Asia (ART) yang bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada profesion toksikologi malah lambang kesepakatan rantau Asia dalam menetapkan standard kecekapan yang selari dan dihormati pada peringkat global. – Bernama





