KUALA LUMPUR: Sunway Lagoon memperkenalkan Sunway Tiny Experience Factory (STEF), sebuah pusat pengalaman didik hibur berasaskan teknologi yang menawarkan pengalaman pemasangan kenderaan miniatur pertama dan paling komprehensif di Asia Tenggara.
Tarikan baharu itu menggabungkan elemen kreativiti, teknologi dan pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pengalaman penghasilan kenderaan miniatur secara interaktif, demikian menurut Sunway Lagoon dalam kenyataan di sini hari ini.
STEF dibangunkan di ruang seluas 189 meter persegi yang menampilkan enam zon imersif, selain menawarkan pengalaman pemasangan kenderaan miniatur menerusi proses pemasangan tempatan (Completely Knocked Down – CKD) dan kenderaan siap dipasang sepenuhnya (Completely Built-Up – CBU).
“STEF direka khas untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat umur, tarikan ini menggabungkan teknologi interaktif, pembelajaran secara praktikal serta penyesuaian kenderaan secara menyeluruh dalam persekitaran yang diinspirasikan daripada sebuah pusat automotif moden,” menurut kenyataan itu.
Menurut Sunway Lagoon, pengunjung akan memulakan pengalaman dengan sesi taklimat interaksif sebelum memilih sama ada pengikuti pengalaman CKD atau CBU serta memperibadikan model Tiny Mini (Mini Cooper) pilihan masing-masing.
Menurut kenyatan itu, bagi pengalaman CKD pengunjung berpeluang memasang sendiri kenderaan miniatur daripada komponen berasingan dengan bimbingan di setiap peringkat sebelum melengkapkannya dengan pilihan reka bentuk bumbung dan nombor plat yang diukir menggunakan teknologi laser.
Bagi pengalaman CBU pula, pengunjung akan melalui 10 stesen interaktif yang merangkumi setiap peringkat penghasilan kenderaan miniatur lengkap, bermula daripada proses tuangan acuan, semburan cat dan pengacuan suntikan, diikuti pengendalian komponen menggunakan teknologi robotik, pemasangan automatik, percetakan UV serta pengukiran laser pada nombor plat pilihan.
“Pengalaman ini memperlihatkan bagaimana teknologi robotik, teknologi dan kejuruteraan berketepatan tinggi digabungkan bagi meningkatkan kecekapan serta memacu inovasi dalam industri pembuatan moden, selain memperkenalkan asas industri automotif secara lebih dekat.
“Menerusi pendekatan pembelajaran secara praktikal STEF menjadikan pembelajaran STEM lebih menarik, khususnya bagi kanak-kanak, pelajar, peminat hobi serta pengumpul model miniatur,” menurut kenyataan itu.
Sunway Lagoon memaklumkan, STEF mencerminkan komitmen taman tema itu dalam membangunkan pengalaman imersif yang menggabungkan elemen hiburan, kreativiti dan pendidikan secara bermakna.
“Lebih daripada sekadar tarikan, STEF menggalakkan pengunjung untuk menjadi pencipta dan bukan hanya pemerhati. Mereka bukan sahaja dapat membawa pulang sebuah kenderaan miniatur yang diperibadikan, malah memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana teknologi dan kreativiti digabungkan untuk menghasilkan produk yang digunakan dalam kehidupan seharian,” menurut kenyataan itu.
STEF kini dibuka di Sunway Lagoon dan beroperasi dari 11.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari kecuali Selasa, dengan tiket ditawarkan pada harga RM99 bagi pengalaman CBU dan RM69 bagi pengalaman CKD.
Untuk maklumat lanjut, pengunjung boleh melayari https://sunwaylagoon.com/ atau ikuti Sunway Lagoon Studios di Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan RedNote. – Bernama





