Seoul keluarkan amaran gelombang haba tahap tertinggi buat kali pertama

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai menyejukkan badan di bawah teduhan payung yang dipasang di sepanjang Sungai Cheonggyecheon di Seoul pada 3 Ogos 2026. Foto AFP

SEOUL: Amaran gelombang haba tahap tertinggi dikeluarkan buat kali pertama di Seoul pada Selasa ketika cuaca panas berterusan dijangka melonjakkan suhu sehingga 38 darjah Celsius, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea, amaran gelombang haba tahap tertinggi berkuat kuasa di kawasan tenggara dan barat daya Seoul mulai 11.00 pagi.

ORANG ramai berjalan di sepanjang Sungai Cheonggyecheon bagi menyejukkan badan di Seoul pada 2 Ogos 2026. Foto AFP

Susulan itu, 11 daerah di ibu negara termasuk Gangnam, Songpa, Gangseo dan Gwanak berada di bawah amaran berkenaan yang mula diperkenalkan dalam sistem amaran gelombang haba negara pada 1 Jun.

Amaran gelombang haba tahap tertinggi dikeluarkan apabila suhu tertinggi mencecah 38 darjah Celsius atau lebih, atau suhu maksimum harian mencapai 39 darjah Celsius atau lebih, di kawasan yang mencatat suhu sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius selama dua hari berturut-turut atau lebih.

PEJALAN kaki melalui kawasan semburan kabus bagi menyejukkan badan di sebuah jalan di Seoul pada 3 Ogos 2026 ketika gelombang haba melampau terus melanda Korea Selatan. Foto AFP

Ketika gelombang haba semakin buruk, sebanyak 18 kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan di Seoul pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan sejak 15 Mei kepada 185 kes termasuk dua kematian, menurut data kerajaan.

Kerajaan Metropolitan Seoul memaklumkan pihaknya memantau dengan teliti peningkatan kes berkaitan cuaca panas dan melancarkan gerak kerja menyeluruh, termasuk menyiram jalan raya serta melindungi golongan rentan seperti penduduk yang tinggal di kediaman sempit.

ORANG ramai bergambar di bawah teduhan payung yang dipasang di sepanjang Sungai Cheonggyecheon di Seoul pada 3 Ogos 2026. Foto AFP

Kerajaan bandar raya itu turut menetapkan kira-kira 4,000 lokasi termasuk pusat komuniti, pusat warga emas dan pusat kebajikan sebagai pusat perlindungan daripada cuaca panas.

Kementerian Dalam Negeri turut menghantar khidmat pesanan ringkas kepada orang ramai pada hari sama, menggesa mereka mengurangkan aktiviti di luar rumah, minum air secukupnya, berehat di tempat sejuk serta memastikan keselamatan anggota keluarga. – Bernama-Yonhap