KUALA LUMPUR: Pelabur asing merupakan penjual bersih dalam pasaran ekuiti tempatan bagi minggu dagangan yang baru berakhir namun nilai aliran keluar bersih keseluruhan susut kepada RM212 juta untuk tempoh 27 hingga 29 April daripada RM689.95 juta yang dicatatkan pada 20 hingga 22 April.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan kepada keputusan pembukaan semula ekonomi oleh kerajaan mendorong aliran keluar dana asing berkurangan dalam keadaan data ekonomi yang suram.
“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan perutusan khas Hari Pekerja mengatakan pembukaan semula sektor ekonomi akan dilaksanakan bermula dari sekarang.
“Oleh itu, kerugian output secara beransur-ansur akan lupus apabila aktiviti ekonomi kembali normal,” katanya kepada Bernama.
Bagi tempoh 27 hingga 29 April, kadar purata penyertaan pelabur asing dan institusi tempatan masing-masing sebanyak 18.05 peratus dan 44.21 peratus, manakala purata penyertaan pelabur runcit tempatan pada 37.75 peratus.
Institusi tempatan mencatatkan pembelian bersih bernilai RM36.22 juta pada tempoh yang sama, berbanding pembelian bersih bernilai RM279.17 juta pada minggu sebelum itu.
Mengenai aliran dana pelabur runcit tempatan, beliau berkata wujud pembelian bersih bernilai RM175.78 juta dalam tempoh tiga hari pertama minggu ini berbanding dengan pembelian bersih bernilai RM410.59 juta pada 20 hingga 22 April.
Pada Khamis, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,407.8 mata, melonjak 37.9 mata daripada 1,369.9 mata yang dicatatkan pada akhir dagangan Jumaat, 24 April.
Pasaran ditutup pada Jumaat minggu ini susulan cuti umum sempena Hari Pekerja.
Dari segi luaran, Mohd Afzanizam berkata data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2020 Amerika Syarikat (AS) adalah lebih teruk berbanding jangkaan, menunjukkan ekonomi itu menguncup 4.8 peratus.
Indeks Pembuatan oleh Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS susut kepada 41.5 pada April (Mac: 49.1), dengan subindeks pesanan baharu menjunam kepada 27.1 daripada 42.2 pada Mac.
Pada 29 April, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS mengeluarkan kenyataan yang melegakan pasaran bahawa ia akan terus menyokong ekonomi sehingga pemulihan jelas menyakinkan.
Bagi minggu depan, Mohd Afzanizam berkata pasaran akan mengikuti keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengenai kadar dasar semalaman (OPR).
“Kami yakin majoriti ahli ekonomi menjangkakan OPR dikurangkan sebanyak 25 hingga 50 mata asas dalam mesyuarat itu nanti.
“Data mengenai eksport China bagi April juga akan dikeluarkan. Ini akan turut memberi lebih banyak petunjuk mengenai sejauh mana pemulihan ekonomi China selepas eksportnya susut pada kadar lebih perlahan iaitu 6.6 peratus tahun ke tahun pada Mac daripada -17.6 peratus pada bulan sebelum itu,” katanya.
Harga minyak mentah meningkat lebih tinggi pada minggu ini dan data terkini, seperti pengurangan pengeluaran minyak mentah AS kepada 12.1 juta tong sehari (mbpd) bagi minggu berakhir 24 April daripada 13 mbpd pada penghujung Mac, telah menyokong pasaran.
“Justeru, FBM KLCI diunjurkan bergerak di sekitar 1,400 mata minggu depan memandangkan pelabur menunggu lebih banyak bukti peningkatan seterusnya dalam keadaan ekonomi global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata FTSE KLCI menunjukkan peningkatan semula yang baik apabila menokok dua peratus pada minggu ini manakala ringgit pula melonjak 1.3 peratus didorong kenaikan harga minyak mentah dan kelemahan dolar AS di seluruh papan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa tidak semuanya melegakan, kerana ‘awan’ perang perdagangan kembali menyelubungi horizon.
Ini kerana pihak yang menyokong dasar agresif di pentadbiran AS meletakkan China bagi dipersalahkan, dengan mendakwa makmal Wuhan menyebarkan wabak Covid-19 selain mengancam untuk bertindak balas secara perdagangan.
“Pasaran semasa adalah pemfaktoran dalam dunia yang berkurangan sifat globalnya selama fasa awal pemulihan pasca pandemik ini, memandangkan ekonomi-ekonomi sedang melakukan internalisasi namun ‘penyalaan’ semula ‘api’ dorman perang perdagangan AS-China akan mencetuskan akibat buruk bagi pengeksport Asia, termasuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata bagi jangka pendek, harga minyak mentah akan menjadi penentu kepada aliran masuk dana sekiranya harga komoditi itu terus meningkat.
“Bagaimanapun pelabur akan menjadi lebih berhati-hati sekiranya ‘gendang’ perang perdagangan mula ‘dimainkan’ sekali lagi,” katanya. – Bernama