Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Kontrak

Facebook
WhatsApp
TUN Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia (CRRCL) yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato’ Seri Vazeer Alam Mydin Meera di Astana Negeri, semalam. Foto JAPEN.

PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia (CRRCL) di Astana Negeri, semalam.

Kunjungan hormat yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato’ Seri Vazeer Alam Mydin Meera tersebut diadakan bersempena Sesi Libat Urus Cadangan Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia Peringkat Zon Sarawak yang menghimpunkan hakim kanan, pakar perundangan, wakil kerajaan serta ahli akademik bagi membincangkan usaha memperkukuh kerangka perundangan kontrak negara agar kekal relevan dengan perkembangan semasa.

Sesi libat urus itu bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan mengenai cadangan pembaharuan undang-undang kontrak negara, termasuk menilai keberkesanan peruntukan sedia ada agar selaras dengan keperluan semasa, perkembangan ekonomi serta landskap perundangan yang semakin dinamik.

Dalam pertemuan tersebut, delegasi turut berkongsi perkembangan semasa berkaitan kajian pembaharuan undang-undang kontrak yang sedang dilaksanakan, selain bertukar pandangan mengenai kepentingan mewujudkan kerangka perundangan yang lebih moden, inklusif dan responsif terhadap cabaran semasa.

TUN Wan Junaidi bertukar pandangan dengan delegasi Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia (CRRCL) mengenai usaha memperkukuh kerangka perundangan kontrak negara. Foto JAPEN

Sesi libat urus itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pemegang taruh di seluruh negara sebagai input kepada usaha memperbaharui undang-undang kontrak Malaysia agar lebih komprehensif, progresif dan memenuhi keperluan semasa.

Turut mengiringi delegasi ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wong Kian Kheong dan Dato’ Azizul Azmi Adnan; Presiden Asian International Arbitration Centre (AIAC) yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato’ Mary Lim Thiam Suan; serta wakil BHEUU JPM yang diketuai Pengarah (Dasar), Kevin Geh Kien Meng bersama Timbalan Pengarah (Dasar), Dr Suharmi Ismail.

Hadir sama ahli Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak di Malaysia serta tokoh akademik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Taylor’s University, selain pengamal undang-undang kanan negara.