Selamat ulang tahun ke-76 Premier Sarawak, Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

KUCHING: Hari ini, 4 Ogos, genap 76 tahun usia Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang telah mengabdikan sebahagian besar perjalanan hidupnya dalam arena politik dan pentadbiran negeri.

Dilahirkan pada 4 Ogos 1950 di Limbang, perjalanan kepimpinan Abang Johari turut menjadi sebahagian daripada perkembangan dan perubahan Sarawak sepanjang beberapa dekad.

Beliau merupakan anak kepada Tun Datuk Abang Openg Abang Sapiee, Yang di-Pertua Negeri yang pertama, sekali gus menjadikan perjalanan hidupnya begitu dekat dengan sejarah dan perkembangan negeri ini.

Daripada menjadi wakil rakyat Satok, Abang Johari kemudiannya melalui pelbagai peranan dalam pentadbiran negeri, termasuk pernah menerajui portfolio Pembangunan Perindustrian, Pelancongan, Perumahan serta Perumahan dan Urbanisasi.

Pengalaman luas dalam pelbagai sektor itu akhirnya membawa beliau ke tampuk kepimpinan negeri apabila dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada Januari 2017.

Pada 2022, gelaran Ketua Menteri Sarawak ditukar kepada Premier Sarawak, dengan Abang Johari terus menerajui pentadbiran negeri dalam fasa pembangunan yang semakin pesat.

Di bawah kepimpinannya, Sarawak terus bergerak dengan agenda pembangunan ekonomi, autonomi negeri serta penerokaan sektor baharu termasuk ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan teknologi angkasa.

Menariknya, 4 Ogos tahun lalu turut mencatat satu lagi detik penting dalam pentadbiran Sarawak apabila kerajaan negeri secara rasmi berpindah ke bangunan pentadbiran baharu yang dinamakan Kompleks Satria Pertiwi.

Bagi seorang pemimpin yang lahir di utara Sarawak dan kemudiannya memimpin keseluruhan negeri, perjalanan Abang Johari juga memperlihatkan perubahan besar yang dilalui Sarawak sepanjang beberapa dekad.

Namun, di sebalik angka 76 tahun itu, 4 Ogos pada hakikatnya lebih daripada sekadar sambutan ulang tahun kelahiran seorang pemimpin kerana ia turut menjadi kesempatan untuk mengimbas perjalanan, pengalaman dan sumbangan beliau kepada Sarawak.

Hari ini, ucapan selamat ulang tahun buat Premier Sarawak mungkin hadir dalam pelbagai bentuk, namun yang lebih besar daripada sekadar ucapan ialah harapan agar Sarawak terus makmur, stabil dan semakin maju di bawah kepimpinan yang diterajui beliau.

Selamat ulang tahun kelahiran ke-76, Premier Sarawak, Abang Johari dan terima kasih atas segala khidmat, usaha serta sumbangan yang telah dicurahkan kepada Sarawak sepanjang perjalanan kepimpinan beliau.

Semoga terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kebijaksanaan untuk menerajui Sarawak serta berkhidmat demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri ini.

Oleh Masrin Affirah