KUCHING: Pelatih Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE) di Sekolah Kemahiran Yahos terus diperkasakan dengan pengetahuan praktikal menerusi Ceramah Permohonan Pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang disampaikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Program tersebut memberi peluang kepada pelatih untuk memahami secara lebih mendalam proses permohonan pendaftaran TASKA, termasuk prosedur yang perlu dipatuhi, dokumen berkaitan serta penyelarasan bersama agensi teknikal yang terlibat.
Pendedahan itu merupakan inisiatif penting dalam melengkapkan pelatih dengan pengetahuan mengenai pengurusan operasi TASKA sebelum melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.
Pengarah Urusan Sekolah Kemahiran Yahos, Natasha Nasa Douglas Uggah berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan setiap pelatih menerima pembelajaran yang bukan sahaja berasaskan teori, malah turut disokong dengan pengalaman praktikal yang selaras dengan keperluan industri.

Menurut beliau, pendidikan kemahiran perlu memberi nilai tambah kepada pelatih melalui pendedahan kepada situasi sebenar di tempat kerja agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran profesion selepas menamatkan pengajian.
“Kami percaya pendidikan kemahiran bukan sekadar memberikan pengetahuan di dalam bilik kuliah, malah turut merangkumi pendedahan kepada situasi serta keperluan sebenar di alam pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, kerjasama erat dengan agensi seperti JKM membolehkan pelatih memahami standard operasi, prosedur serta tanggungjawab profesional yang perlu dipenuhi dalam pengurusan sesebuah TASKA.
“Melalui kerjasama dengan agensi seperti JKM, pelatih dapat memahami standard, prosedur serta tanggungjawab profesional yang perlu dipatuhi dalam mengendalikan perkhidmatan TASKA,” katanya.
Natasha turut menegaskan bahawa Sekolah Kemahiran Yahos sentiasa berusaha menyediakan platform pembelajaran yang holistik bagi melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kompeten, berkeyakinan serta memiliki nilai profesionalisme yang tinggi.
Menurut beliau, bidang Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah memahami aspek keselamatan, kebajikan serta perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Katanya, kefahaman terhadap keperluan perundangan dan pematuhan dalam pengurusan TASKA amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi piawaian yang ditetapkan demi kesejahteraan kanak-kanak serta meningkatkan keyakinan ibu bapa.
Sehubungan itu, Sekolah Kemahiran Yahos akan terus memperkukuh pendidikan berasaskan kemahiran melalui gabungan pembelajaran teori, latihan amali dan pendedahan industri, sekali gus melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berdaya saing serta bersedia memenuhi keperluan sektor Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak di negara ini.





