BINTANGOR: Seramai 200 peserta menyertai Program Bersama Pengakap Bahagian Sarikei yang dikendalikan pasukan bomba di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang sebagai usaha memperkukuh pengetahuan serta kemahiran asas keselamatan dan kecemasan dalam kalangan belia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program yang berlangsung dari 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang baru-baru ini dikendalikan oleh 14 anggota bomba.
Katanya, program tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai aspek keselamatan, termasuk pengendalian kecemasan, pencegahan kebakaran dan aktiviti menyelamat.

“Peserta didedahkan kepada ceramah Bantuan Hayat Asas (BHA), demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan alat pemadam api, demonstrasi menangani kebakaran dapur, aktiviti menuruni tali dan gelongsor tali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, ceramah BHA memberi pendedahan kepada peserta mengenai tindakan awal yang boleh diambil bagi membantu mangsa kecemasan sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
“Demonstrasi penggunaan alat pemadam api dan pengendalian kebakaran dapur pula bertujuan meningkatkan kesedaran peserta mengenai langkah pencegahan serta tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran.

“Program seperti ini memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian selain meningkatkan keyakinan mereka ketika berdepan situasi kecemasan,” katanya.
Tambahnya, aktiviti menuruni tali dan gelongsor tali turut mendapat sambutan menggalakkan kerana memberi pengalaman secara praktikal kepada peserta mengenai teknik asas yang digunakan dalam operasi menyelamat.
“Penglibatan golongan belia dalam program ini penting bagi memupuk semangat disiplin, kerjasama berpasukan dan meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek




