KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, menerima kunjungan hormat daripada Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof, di Bilik Tetamu Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat tersebut diadakan bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di samping membincangkan perkara-perkara berkaitan keselamatan negara, khususnya di Sarawak.
Pertemuan itu turut mencerminkan hubungan kerjasama yang erat antara kedua-dua pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam terus terpelihara, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap aspek keselamatan di negeri ini.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan Pengurusan SAC Zulkipli Suhaili, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam SAC Ku Mashariman Ku Mahmood, Komander Briged SAC Lim Bak Pai, Timbalan Ketua Cawangan Khas ACP Mohd Azahari Mohd Noor serta delegasi dari Markas Divisyen Pertama Infantri, Muara Tuang.





