Press Metal ambil alih kawalan PMB Technology RM464.95 juta

Facebook
WhatsApp
PRESS Metal Aluminium Holdings Bhd

KUALA LUMPUR: Press Metal Aluminium Holdings Bhd bercadang mengambil alih 35.6 peratus kepentingan dalam PMB Technology Bhd bernilai RM464.95 juta secara tunai, sekali gus meningkatkan pegangan kawalannya dalam syarikat itu kepada 58.8 peratus daripada 23.2 peratus.

Pengambilalihan itu akan memberikan Press Metal kawalan statutori terhadap PMB Technology, sekali gus membolehkan syarikat berkenaan distruktur semula bagi memberi tumpuan kepada pengeluaran aloi silikon-aluminium bernilai margin lebih tinggi.

Press Metal memaklumkan ia telah memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan pengasas PMB Technology, adik-beradik Koon iaitu Tan Sri Datuk Koon Poh Keong, Datuk Koon Poh Ming, Datuk Koon Poh Tat, Koon Poh Weng dan Datuk Koon Poh Kong, bagi mengambil alih 664.22 juta saham PMB Technology pada harga 70 sen sesaham.

“Pengambilalihan itu akan dibiayai menggunakan dana dalaman yang dijana,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Press Metal memaklumkan PMB Technology, yang kini merupakan syarikat bersekutu dengan pegangan 23.2 peratus, terjejas akibat kejatuhan harga logam silikon, menyebabkan perniagaannya mencatat kerugian berikutan lebihan bekalan struktur dan permintaan hiliran yang lemah.

Walaupun pengambilalihan itu lazimnya mencetuskan kewajipan membuat tawaran pengambilalihan mandatori, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memberikan pengecualian kepada Press Metal berikutan keluarga Koon kekal sebagai pemegang saham pengawal utama bagi kedua-dua syarikat.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku ketiga 2026.

Selepas selesai pengambilalihan, Press Metal bercadang memanfaatkan bekalan kuasa hidroelektrik terjamin milik PMB Technology serta kemudahan sedia ada di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) untuk menukar sebahagian operasinya daripada pengeluaran logam silikon kepada peleburan aloi silikon-aluminium, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

Press Metal memaklumkan langkah itu akan mempelbagaikan asas pendapatan PMB Technology dengan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran logam silikon yang tidak menentu, selain memanfaatkan prospek jangka panjang yang lebih kukuh bagi aloi silikon-aluminium.

Prestasi PMB Technology merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini susulan kejatuhan harga logam silikon kepada AS$1.27 per paun pada 24 Julai 2026 berbanding AS$3.47 per paun pada 2022.

Akibatnya, kumpulan itu mencatat kerugian bersih RM12.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025, berbanding keuntungan bersih RM110.4 juta pada tahun kewangan berakhir 2022.

Syarikat itu memaklumkan prospek logam silikon kekal mencabar berikutan lebihan bekalan struktur dan kelembapan permintaan hiliran, dengan harga dijangka tidak pulih dalam tempoh terdekat.

Margin keuntungan dijangka terus tertekan, manakala kelemahan berterusan dolar Amerika Syarikat boleh meningkatkan turun naik pendapatan memandangkan sebahagian besar jualan logam silikon didenominasikan dalam mata wang tersebut.

Sebaliknya, permintaan global terhadap aloi silikon-aluminium kekal stabil, disokong paras inventori yang rendah serta penggunaannya dalam sektor tenaga bersih.

“Selain itu, bekalan global yang semakin ketat susulan peningkatan ketegangan geopolitik dijangka menyokong prospek harga aluminium yang positif,” menurut Press Metal. – Bernama