KUCHING: Keretakan hubungan keluarga menyebabkan dua kanak-kanak terpaksa dibesarkan oleh datuk dan nenek mereka selepas ditinggalkan ibu bapa di Kuching.
Menurut kenyataan Hope Place Kuching, datuk mereka, Chong Jun Lee, 62, sudah lapan tahun menjaga cucunya dan kini berdepan kesukaran untuk menanggung keperluan seluruh keluarga akibat sumber pendapatan yang terhad.
Nasib keluarga itu mendapat perhatian Hope Place Kuching selepas dimaklumkan oleh seorang sukarelawan tetap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.
Susulan itu, pasukan Hope Place Kuching berkunjung ke rumah sewa Chong di Moyan bagi menyampaikan bantuan yang diperlukan keluarga berkenaan.
Chong kini menjaga dua cucunya yang masing-masing berusia dua dan lapan tahun.
Menurut Chong, anak perempuannya sebelum ini mahu meninggalkan ketiga-tiga anaknya untuk dijaganya, namun beliau bertegas bahawa dirinya tidak mampu menjaga terlalu ramai kanak-kanak.
“Anak perempuan saya kemudian membawa anak kedua bersamanya, namun kini saya tidak mengetahui keberadaan anak perempuan saya itu kerana sudah lama tidak menerima sebarang khabar,” luahnya.
Chong yang pernah bekerja di sebuah kedai perkakasan sebelum bersara beberapa tahun lalu kini melakukan kerja-kerja sambilan seperti memotong rumput bagi memperoleh pendapatan.
Beliau bersama isterinya, Chin, 63, turut bersyukur kerana seorang lagi anak perempuan mereka sentiasa membantu dari segi kewangan, namun perbelanjaan untuk keperluan dua kanak-kanak menyebabkan kewangan keluarga agak terhad.
Antara komitmen yang perlu ditanggung termasuk bayaran sewa rumah, utiliti, petrol serta keperluan harian keluarga.
Chong turut memaklumkan bahawa beliau dan isterinya tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, namun berharap diberikan kesihatan yang baik memandangkan usia mereka semakin meningkat selain masih perlu menjaga dua cucu yang masih kecil.
Sementara itu, Hope Place terus membantu keluarga berkenaan menerusi sumbangan barangan makanan asas, selain menyediakan susu tepung dan kelengkapan persekolahan untuk kanak-kanak terbabit.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan bantuan kepada Hope Place atau Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (PKHK) boleh menghubungi 082-505987 atau 013-5672775.
Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 511289001160, manakala kod QR Sarawak Pay atau S PAY GLOBAL boleh diperoleh menerusi laman Facebook rasmi Hope Place.
Oleh Masrin Affirah





