LAWAS: Penduduk di kawasan Banting, yang terletak dalam kawasan bandar Lawas, berdepan gangguan utiliti apabila bekalan elektrik dihentikan sementara bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB), semalam.
Gangguan itu turut menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi, manakala tekanan bekalan air di beberapa kawasan dilaporkan merosot.
Seorang penduduk Kampung Banting, Ismail Mustapha, berkata masalah melibatkan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi merupakan antara isu utama yang sering menjejaskan kesejahteraan penduduk di Lawas.
“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan oleh pihak yang bertanggungjawab dengan kadar segera. Kawasan lain kini sudah menuju ke arah pendigitalan, namun di Lawas masalah gangguan telekomunikasi masih berlarutan,” katanya ketika menghubungi media, semalam.

Menurutnya, gangguan perkhidmatan internet bukan isu baharu, sebaliknya masalah berpanjangan yang masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.
Beliau berkata, pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Sacofa Sdn Bhd sebelum ini telah dipanggil oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, bagi mendapatkan penjelasan mengenai punca masalah serta langkah yang diambil untuk mengatasinya.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan pelan tindakan susulan masih belum menunjukkan hasil yang memuaskan, malah masalah berkenaan didakwa semakin meruncing.
Dalam pada itu, Henry berharap isu berkaitan utiliti di Lawas dapat ditangani segera supaya tidak terus menjadi rungutan masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Oleh Adeng Edrus




