PETRA JAYA: Minggu Motosikal Antarabangsa Bandar Raya Kuching (Cat City International Bike Week, CCIBW) 2026 bukan lagi sekadar platform menghimpunkan komuniti motosikal, sebaliknya disasarkan menjadi produk pelancongan baharu yang mampu merangsang ekonomi setempat serta mengangkat Kuching sebagai destinasi acara permotoran bertaraf antarabangsa.
Pengerusinya, Abang Nor Nasaruddin Abang Noorzuki, berkata aspirasi itu menjadi antara faktor utama penganjur menjenamakan semula Cat City Bike Week kepada Cat City International Bike Week (CCIBW) selepas dua edisi terdahulu menerima sambutan memberangsangkan termasuk penyertaan penunggang dari luar negara.
Katanya, penganjuran pertama pada 2024 dan edisi kedua pada 2025 berjaya menarik penyertaan penunggang dari beberapa negara termasuk Brunei Darussalam dan negara Asia Barat, sekali gus membuktikan acara itu mempunyai potensi untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.
“Justeru, bagi edisi ketiga ini kami mengambil keputusan untuk menaik taraf acara kepada CCIBW. Ia merupakan acara Bike Week bertaraf antarabangsa yang pertama diadakan di Kuching,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Beliau berkata, CCIBW 2026 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 28 Oktober hingga 1 November di kawasan parkir Stadium Negeri Sarawak bukan hanya memfokuskan kepada motosikal, malah memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri kreatif serta komuniti setempat.
Menurutnya, setiap penganjuran acara berskala besar akan mencetuskan kesan berganda kepada ekonomi melalui peningkatan kehadiran pelancong, permintaan terhadap hotel, restoran, pengangkutan dan peluang perniagaan.
“Kami mahu menjadikan CCIBW sebagai salah satu produk kebanggaan orang Kuching. Apabila orang mendengar nama Kuching, mereka akan mengingati CCIBW.
“Acara ini bukan semata-mata menghimpunkan motosikal, tetapi turut memberi manfaat kepada ekonomi, masyarakat setempat, peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kali ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) sebagai penaja utama selain kerjasama strategik bersama Givi Malaysia yang akan membuka pavilion khas bagi mempamerkan produk-produk terbaharunya.
Dalam pada itu, acara ini turut dikuasakan oleh Petronas Sprinta yang juga bakal membuka reruai di CCBIW 2026 nanti.
Katanya, syarikat itu akan membawa sendiri produk dari ibu pejabatnya di Kuala Lumpur yang tidak terdapat di pasaran tempatan sepanjang penganjuran CCIBW 2026.
Dalam aspek keselamatan, beliau berkata pihak penganjur akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), bagi memastikan semua aktiviti termasuk Rolling Thunder berjalan lancar.
Menurutnya, program Rolling Thunder tahun ini akan diberi nafas baharu menerusi pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kunjungan ke beberapa kampung bagi menyantuni komuniti setempat selain menyalurkan sumbangan kepada masjid serta jawatankuasa kampung.
Mengulas mengenai perancangan jangka panjang, Abang Nor Nasaruddin berkata pihaknya mahu menjadikan CCIBW setanding dengan acara permotoran terkenal seperti Art of Speed melalui penambahan elemen pameran motosikal ubah suai, pertandingan, ruang jualan barangan serta pengisian kreatif di dalam dewan pameran.
Beliau berkata, pihak penganjur turut merancang memindahkan penganjuran ke pusat konvensyen pada masa hadapan sekiranya penyertaan terus meningkat.
“Kami mahu menghasilkan sebuah acara yang berbeza daripada Bike Week lain. Bukan sekadar pentas hiburan dan konvoi, tetapi satu pengalaman lengkap yang menghimpunkan seni, kreativiti, industri dan komuniti permotoran.
“Impian kami adalah untuk melihat CCIBW berdiri sebaris dengan acara permotoran terbesar di rantau ini sekali gus membawa lebih ramai pengunjung antarabangsa ke Sarawak,” katanya.
Mengangkat tema ‘Ride Sampai Jadi’, CCIBW 2026 dijangka menghimpunkan ribuan penunggang motosikal dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan beberapa negara lain.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 1 November di kawasan parkir Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Oleh Shahrul Qaizat





