RM64,500 geran MRP, bantuan IPT disalur kepada penerima di Tanjong Datu

Facebook
WhatsApp
AZIZUL ANNUAR ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran MRP dan Bantuan IPT Tanjong Datu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, Lundu.

LUNDU: Seramai 34 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu menerima peruntukan berjumlah RM64,500 menerusi Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Bantuan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan penuntut institusi pengajian tinggi yang baharu melangkah ke kampus, di samping memperkasakan gerak kerja persatuan dan komuniti setempat.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran MRP dan Bantuan IPT Tanjong Datu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, di sini.

AZIZUL Annuar Adenan menyampaikan bantuan kepada penerima Geran MRP dan Bantuan IPT bagi kawasan DUN Tanjong Datu pada majlis yang berlangsung di Lundu. Foto Pusat Khidmat Tanjong Datu Lundu.

Sebanyak RM7,500 diperuntukkan bagi Bantuan IPT melibatkan 15 penerima, manakala Geran MRP berjumlah RM57,000 disalurkan kepada 19 penerima, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM64,500.

Azizul turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengemas kini maklumat di Pejabat Pusat Khidmat Tanjong Datu memandangkan setiap permohonan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk diproses.

PENERIMA Geran MRP dan Bantuan IPT bergambar kenangan selepas majlis penyampaian di DUN Tanjong Datu, Lundu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu, Abdul Razak Abdul Wahab; Naib Ketua Cawangan PBB Tanjong Datu, Sintu Anak Layang; Ketua Pergerakan Pemuda PBB Tanjong Datu, Kaunselor Mohd Radhzie Kassim; serta Pemanca Jumahdi Sabian.