Sabah, Sarawak terus main peranan penting dalam politik negara

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Alumni Ummatic Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Sarawak di sebuah hotel hari ini.

KUCHING: Sabah dan Sarawak akan terus memainkan peranan penting dalam landskap politik negara meskipun terdapat pandangan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lagi menjadi penentu pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kenyataan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien mengenai perkara itu hanyalah pandangan peribadi.

“Politik ini kita tidak boleh mengatakan bahawa Sarawak dan Sabah tidak memainkan peranan dalam politik negara.

“Ketika ini, kita berada dalam Kerajaan Perpaduan kerana kita mahu melihat kestabilan politik negara,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Alumni Ummatic Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Sarawak di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedudukan strategik Sabah dan Sarawak serta kekayaan sumber asli negara di kedua-dua wilayah itu menjadikan kerjasama dengan negeri-negeri Borneo terus penting dalam landskap politik nasional.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Abdul Karim berpandangan pilihan raya dijangka diadakan sebelum penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.

Katanya, lazimnya pilihan raya diadakan lebih awal dan tidak menunggu sehingga tamat tempoh penggal secara automatik.

“Pada pemerhatian saya, pilihan raya memang perlu diadakan sebelum penggal berakhir.

“Kita tidak mahu menunggu sehingga Dewan Undangan Negeri terbubar secara automatik kerana sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka, ia akan menyukarkan keadaan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan pilihan raya sebelum tamat tempoh penggal merupakan amalan yang lazim bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dengan teratur.

Oleh Shikin Mahmud