KUCHING: Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus membuktikan keupayaan mereka apabila ramai dalam kalangan alumni kini memegang pelbagai jawatan penting dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak dalam sektor awam, politik serta swasta.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejayaan tersebut mencerminkan kualiti modal insan serta kepimpinan yang berjaya dilahirkan oleh UIAM.
“Ramai alumni UIAM di Sarawak kini berada di kedudukan strategik seperti Peguam Besar Negeri, Pengarah Imigresen Sarawak, menteri dan timbalan menteri kabinet negeri, selain pengamal undang-undang yang berjaya.
“Ini mencerminkan keyakinan kerajaan dan masyarakat terhadap kualiti graduan yang dihasilkan oleh UIAM,” katanya ketika berucap pada IIUM Alumni Ummatic Gathering in Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau turut menyatakan sokongan Kerajaan Sarawak terhadap sebarang usaha memperluaskan akses pendidikan tinggi di negeri ini, termasuk cadangan penubuhan kampus UIAM di Sarawak.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan terhadap bidang pendidikan, termasuk menerusi inisiatif menyediakan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik Sarawak kepada anak negeri.
“Sekiranya UIAM dapat bertapak di Sarawak, kita boleh melihat bentuk kerjasama yang membolehkan kerajaan membantu menampung atau menaja pelajar yang melanjutkan pengajian di sini,” katanya.
Abdul Karim yang juga alumni kumpulan kedua UIAM turut berkongsi kenangan ketika menuntut di kampus awal universiti itu di Jalan Universiti, Petaling Jaya serta menzahirkan penghargaan kepada institusi berkenaan yang banyak membentuk keperibadian dan perjalanan kerjayanya.
Beliau turut menekankan keunikan Sarawak yang mempunyai kestabilan politik, keharmonian 34 kaum serta semangat toleransi agama yang tinggi sebagai antara faktor yang menyumbang kepada pembangunan pesat negeri ini.
Katanya, penubuhan Unit Bagi Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan persefahaman kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum membolehkan Sarawak terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan, termasuk infrastruktur berskala besar serta persediaan menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa.
Turut hadir ialah Rektor UIAM, Datuk Dr Osman Bakar Ahli Lembaga Pengarah UIAM, Dato’ Mohd Yusof; Pengarah Bahagian Hubungan Alumni UIAM, Tan Sri Mohd Othman Ismail; serta Presiden UIAM Youth Chapter, Yahya Kamilie.
Oleh Shikin Mahmud



