SARATOK: Sambutan Hari Wanita 2026 peringkat Daerah Saratok yang bertemakan “Sarawak Women In Digital Economy” berlangsung meriah di Dewan Pejabat Daerah Saratok dengan pelbagai aktiviti yang menumpukan kepada pemerkasaan wanita dalam bidang ekonomi digital dan keusahawanan.
Program itu menghimpunkan wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan teknologi digital sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan keluarga.
Majlis sambutan turut diserikan dengan kehadiran Norlida Sharkawi, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, serta Ani Isek, isteri ADUN Krian, Friday Belik.
Kehadiran kedua-dua mereka disifatkan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa golongan wanita di Daerah Saratok agar terus berdaya saing dan memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti.
Sempena program itu, Agrobank Saratok turut mengadakan sesi taklimat khas yang memberi penerangan mengenai pelbagai inisiatif kewangan dan kemudahan pembiayaan bagi membantu wanita menceburi serta mengembangkan aktiviti perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Hajijah Dahlan berkata, sambutan kali ini disusun dengan pelbagai pengisian yang mampu memberi manfaat kepada peserta, khususnya dalam meningkatkan pengetahuan berkaitan ekonomi digital.
Menurut beliau, antara pengisian utama ialah ceramah Agrobank bertajuk “Pemerkasaan Ekonomi Digital”, yang memberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi dan kemudahan kewangan untuk memajukan perniagaan.
Selain itu, program turut menampilkan pameran dan jualan hasil produk kraftangan serta makanan kering oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sekali gus membuka peluang kepada usahawan wanita mempromosikan produk mereka.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, aktiviti senam poco-poco serta cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta.
Hajijah berkata, program tersebut merupakan hasil kerjasama Pejabat Daerah Saratok, Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu, Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Wanita Daerah Saratok dalam memperkukuhkan agenda pembangunan wanita di daerah berkenaan.
Turut hadir ialah Inspektor Zuraini Hamzah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, Penghulu Josephine Entira, ketua-ketua jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat serta ahli KMKK yang bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Wanita 2026 peringkat Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman



