Wanita pemacu transformasi ekonomi Sarawak menjelang 2030

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari menyampaikan Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Muda Wanita kepada Jezzebelle Buyau Trofi yang turut menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000 pada Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.

KUCHING: Wanita disifatkan sebagai tulang belakang kepada transformasi Sarawak ke arah negeri maju, berpendapatan tinggi serta ekonomi berasaskan ilmu dan teknologi menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, wanita bukan lagi sekadar penerima manfaat pembangunan, sebaliknya berperanan sebagai rakan strategik, pemimpin dan penggerak utama pembangunan negeri.

Menurut beliau, Sarawak kini sedang melalui peralihan daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi berasaskan ilmu yang memerlukan penguasaan teknologi, inovasi dan pendigitalan.

“Peranan wanita telah berubah. Mereka perlu memahami kaedah baharu, menguasai teknologi dan pada masa sama memperkasakan institusi keluarga selaras dengan perubahan gaya hidup moden,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pendidikan sebagai asas untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, termasuk menyediakan pendidikan tinggi percuma di universiti milik Sarawak kepada anak negeri yang layak tanpa mengira latar belakang.

SAMBUTAN Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 bertemakan “Wanita Sarawak dalam Ekonomi Digital” yang menekankan peranan wanita sebagai pemacu transformasi digital, inovasi dan pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, penyertaan wanita dalam pendidikan tinggi kini semakin memberangsangkan, dengan bilangan pelajar wanita melebihi lelaki di institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, Abang Johari menggalakkan lebih ramai ibu bapa membawa anak-anak mengunjungi Pusat Sains Sarawak bagi memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak usia muda.

Beliau berkata, lebih 3,000 pengunjung direkodkan mengunjungi pusat berkenaan dalam tempoh beberapa hari selepas pembukaannya, dengan kebanyakan kanak-kanak dibawa oleh ibu mereka.

Menurut beliau, wanita juga semakin diberi kepercayaan untuk menerajui organisasi strategik negeri, termasuk dalam sektor pelabuhan, ekonomi digital dan pentadbiran kerajaan.

“Saya percaya wanita memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial Sarawak. Mereka ialah tulang belakang kepada kemajuan negeri pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa kejayaan wanita dalam kerjaya perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab mengurus keluarga bagi memastikan pembangunan masyarakat terus kukuh dan mampan.

Oleh Afiq Sallehi