KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan beberapa permohonan berkaitan pemerkasaan wanita yang dikemukakan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) untuk dimasukkan dalam Belanjawan Sarawak 2027.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setiap permohonan itu akan diteliti secara terancang berdasarkan kemampuan kewangan negeri bagi memastikan pelaksanaannya memberi manfaat kepada pembangunan wanita.
“Kita akan masukkan dalam Belanjawan 2027. Cara saya mengurus kewangan adalah secara teratur.
Kita tidak boleh berbelanja sesuka hati, sebaliknya perlu dimasukkan dalam anggaran belanjawan kerana perkara ini penting untuk meningkatkan latihan dan status wanita Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, antara cadangan yang dikemukakan termasuk pembangunan Women Entrepreneurship Dashboard (WED), peningkatan latihan kepimpinan wanita serta pertambahan geran bagi memperkukuh peranan organisasi wanita di negeri ini.
Menurut beliau, pembangunan pangkalan data seperti WED amat penting bagi membantu kerajaan merangka dasar yang lebih tepat berdasarkan data semasa.
“Data amat penting untuk kita merancang dasar pada masa hadapan. Sebab itu kita memberi penekanan kepada pembangunan sistem yang dapat menyokong proses membuat keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak terus melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan teknologi, termasuk perancangan melancarkan satelit nano negeri menjelang 2030 bagi memperkukuh pembangunan ekonomi digital.
Beliau turut menyentuh perkembangan AirBorneo yang akan diintegrasikan dengan sistem pengangkutan awam, sekali gus memudahkan pergerakan pelancong dari lapangan terbang ke destinasi penginapan melalui pakej perjalanan yang lebih menyeluruh.
Abang Johari berkata, segala usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat termasuk golongan wanita.
Oleh Afiq Sallehi




