SARIKEI: Seramai 110 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Selangan menyertai latihan keselamatan kebakaran sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan warga sekolah menghadapi sebarang kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program tersebut bermula dari 9.00 pagi hingga 11.40 pagi dan dikendalikan oleh sembilan anggota bomba.

Katanya, program tersebut melibatkan 91 murid serta 19 guru dan kakitangan sekolah.
“Program ini bertujuan memastikan warga sekolah didedahkan mengenai tatacara pengungsian bangunan, cara melepaskan diri sekiranya terperangkap, penggunaan alat pemadam api dan pengetahuan awal mengenai bahaya kebakaran.
“Latihan pengungsian bangunan dilaksanakan bagi memastikan warga sekolah memahami prosedur pemindahan yang selamat dan tersusun sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, peserta turut diberi penerangan mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul sebagai tindakan awal mengawal kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kebakaran.
“Pendedahan seperti ini penting bagi meningkatkan kesedaran warga sekolah supaya mereka lebih bersedia bertindak dengan tenang dan teratur ketika berdepan situasi kecemasan.
“Pendidikan keselamatan kebakaran perlu diterapkan secara berterusan, khususnya dalam kalangan murid, bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan sejak usia muda,” katanya.
Oleh Earl Anek





