KUCHING: Jasa petugas barisan hadapan, anggota pembersihan dan petugas landskap yang selama ini bekerja tanpa mengenal penat demi memastikan Bandaraya Kuching kekal bersih, indah dan selesa tidak harus dipandang sepi, kata Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman.
Menurut beliau, golongan yang sering berada di sebalik tabir itu memainkan peranan besar dalam mencorakkan wajah Bandaraya Kuching walaupun pengorbanan mereka jarang mendapat perhatian umum.
“Tidak kita lupakan juga buat wira-wira yang sering berada di sebalik tabir , insan-insan yang mungkin jarang disebut namanya, para petugas barisan hadapan, anggota pembersihan dan para petugas landskap yang saban hari, seawal dinihari, melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi.
“Jasa dan pengorbanan mereka sentiasa terpahat dalam wajah bandar raya yang kita banggakan hari ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-38, di MBKS Theatre, di sini, hari ini.
Beliau turut meminta agar seluruh warga bandar raya agar bersama-sama memelihara kebersihan, memperkukuh keharmonian dan memacu kemajuan supaya Kuching terus kekal sebagai bandar raya yang cantik, bersih, selamat, pintar dan lestari untuk diwarisi generasi akan datang.
Dalam pada itu, Hilmy berkata, DBKU akan terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik Kerajaan Sarawak menerusi pemerkasaan inovasi, tadbir urus dan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membangunkan bandar raya yang moden, pintar, mampan, inklusif serta berdaya tahan.
Katanya, antara fokus utama DBKU ialah membangunkan bandar raya yang lebih hijau dan rendah karbon, memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan, memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati kemudahan bandar secara adil serta menyediakan lebih banyak ruang awam berkualiti.
“Kita mahu membangunkan sebuah bandar raya yang lebih hijau dan rendah karbon. KITA mahu memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan.“
Kita mahu mewujudkan lebih banyak ruang awam yang berkualiti, memperkukuhkan budaya masyarakat penyayang serta mempertingkatkan daya saing ekonomi bandar,” katanya.
Beliau berkata, aspirasi tersebut penting bagi memperkukuh kedudukan Bandaraya Kuching sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa yang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan, kerjasama serta peluang baharu demi kemajuan Sarawak.




