KUCHING: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu difahami berdasarkan fakta sejarah, dokumen rasmi dan kerangka Perlembagaan, bukannya sekadar melalui naratif politik yang boleh mencetuskan salah tafsir.
Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, perbincangan mengenai MA63 yang semakin mendapat perhatian masyarakat ketika ini adalah perkembangan positif kerana menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap sejarah pembentukan Malaysia.
Perbincangan mengenai MA63 kembali mendapat perhatian umum sejak kebelakangan ini susulan peningkatan perbualan mengenainya di pelbagai platform termasuk podcast dan media sosial.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab untuk memastikan fakta sejarah dan peruntukan Perlembagaan tidak disalah tafsir.
“MA63 bukan sekadar dokumen politik. Ia merupakan salah satu dokumen asas yang membolehkan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963,” katanya dalam kenyataan yang diterima hari ini
.Menurut beliau, sebarang perbincangan berkaitan MA63 perlu berpandukan dokumen rasmi termasuk Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Persekutuan serta dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ahmad berkata, antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah proses pembentukan Malaysia melibatkan Sarawak dan North Borneo (kini Sabah) yang tidak melalui referendum seperti Singapura.
Sebaliknya, katanya, pandangan rakyat di kedua-dua wilayah berkenaan dinilai melalui proses Suruhanjaya Cobbold, rundingan, pilihan raya tempatan serta Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1963.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak yang menandatangani MA63 ialah United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo, Sarawak dan Singapura, bukannya negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu secara berasingan.
Menurutnya, pembentukan Malaysia juga tidak boleh dilihat semata-mata sebagai proses Sarawak dan Sabah “menyertai Malaya” sebagai negeri biasa, sebaliknya hasil rundingan yang membawa kepada perubahan struktur Persekutuan serta pengiktirafan terhadap perlindungan dan bidang kuasa khas kedua-dua wilayah berkenaan.
Dalam masa sama, Ahmad berkata, pemahaman terhadap sejarah perlu dilakukan secara seimbang dengan mengelakkan kenyataan yang terlalu mudah atau mutlak kerana realiti sejarah dan undang-undang adalah lebih kompleks.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tidak dibatalkan sepenuhnya pada 1963, sebaliknya dipinda secara menyeluruh bagi membentuk Persekutuan Malaysia.
“Kita tidak seharusnya melihat MA63 melalui lensa menang atau kalah, apatah lagi sebagai alat untuk memecah-belahkan hubungan antara Malaysia Borneo dan Semenanjung Tanah Melayu,” katanya.
Jelasnya, MA63 perlu difahami sebagai asas pembentukan Malaysia yang mencerminkan semangat perkongsian, saling menghormati dan kepercayaan antara semua wilayah dalam Persekutuan.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pihak supaya berbahas mengenai MA63 dengan berlandaskan fakta kerana perbezaan pandangan adalah perkara biasa, namun sejarah dan Perlembagaan perlu terus dihormati.
Oleh Afiq Sallehi




