JAKARTA: Pihak berkuasa Kastam dan Eksais Indonesia memperketat pemeriksaan bagasi semua kru penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia yang didakwa cuba menyeludup pil ekstasi ke negara itu.
Ketua Pejabat Utama Kastam dan Eksais Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata, langkah lebih ketat itu termasuk meningkatkan kekerapan pemeriksaan rambang terhadap juruterbang dan kru kabin syarikat penerbangan domestik serta antarabangsa, sambil mengekalkan laluan khas kru di lapangan terbang berkenaan.
“Penyediaan laluan khas untuk kru sememangnya menjadi tanggungjawab kami. Namun susulan insiden ini, kami akan menjalankan pemeriksaan rambang, contohnya dengan melaksanakan pemeriksaan yang lebih ketat terhadap juruterbang dan kru penerbangan,” katanya pada Sabtu, menurut agensi berita ANTARA.
Hengky berkata kes itu mendorong semakan semula prosedur keselamatan penerbangan di lapangan terbang paling sibuk di Indonesia itu, namun menegaskan langkah yang dipertingkatkan itu akan tertumpu pada pemeriksaan bagasi dan bukannya ujian dadah.
Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan dalam sidang media di Jakarta pada Jumaat bahawa juruterbang berusia 39 tahun itu ditahan pada 29 Julai selepas didakwa cuba menyeludup sekitar 25 kilogram pil ekstasi bernilai sekitar Rp60 bilion (Rp1 juta bersamaan RM225.20) ke negara itu.
Pihak berkuasa turut mendakwa suspek didapati positif MDMA, metamfetamin dan kokain, pernah menyeludup dadah ke Indonesia sebelum ini serta menyalahgunakan sistem pengendalian bagasi khas kru dengan menyembunyikan dadah berkenaan di bawah pakaian dalam sebuah bagasi yang mempunyai tag tuntutan kru.
Siasatan awal mendapati suspek dijanjikan bayaran RM50,000 (sekitar Rp220 juta) bagi operasi penyeludupan itu, manakala pihak berkuasa terus memburu dalang sindiket berkenaan.
– Bernama





