AirBorneo, ART bakal digabung dalam satu pakej perjalanan pelancong

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Hak Penamaan Stesen SM07 The Northbank antara Sarawak Metro Sdn Bhd dan IBRACO Berhad di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang mengintegrasikan perkhidmatan AirBorneo dan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) menerusi satu pakej perjalanan bagi membolehkan pelancong menikmati perjalanan lancar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke hotel menggunakan Transit Aliran Automatik (ART).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Johari Tun Openg berkata, menerusi konsep itu, tambang ART akan dimasukkan sekali dalam harga tiket penerbangan AirBorneo, sekali gus memudahkan pergerakan penumpang sebaik sahaja tiba di Kuching.

Beliau berkata, pelancong hanya perlu membeli satu tiket yang merangkumi penerbangan dan perjalanan ART tanpa perlu membuat bayaran tambahan apabila tiba di Sarawak.”Kita akan menggunakan livery yang sama seperti AirBorneo pada ART kerana kita mahu mewujudkan satu pakej perjalanan.

“Apabila pelancong membeli tiket AirBorneo, mereka boleh menambah tambang ART sekali. Apabila tiba di lapangan terbang, ART sudah menunggu untuk membawa mereka terus ke hotel.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendengar penerangan mengenai kemajuan pembangunan serta kemudahan Stesen ART SM07 The Northbank ketika lawatan ke stesen berkenaan di Kuching, hari ini.

“Mereka tidak perlu risau ditipu kerana semuanya telah diuruskan dalam satu pakej,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Penamaan Stesen SM07 The Northbank antara Sarawak Metro Sdn Bhd dan IBRACO Berhad di sini, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri membangunkan ekosistem pengangkutan awam yang moden, cekap dan mesra pelancong, sekali gus menjadikan Kuching sebuah bandar raya yang lebih berdaya saing.

Katanya, rangkaian ART pada masa hadapan bukan sahaja menghubungkan kawasan bandar, malah akan diperluaskan ke beberapa destinasi lain termasuk Damai, Kota Samarahan dan Gedong.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri tetap komited meneruskan pembangunan KUTS walaupun projek berkenaan pernah menerima pelbagai kritikan ketika mula diperkenalkan.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Penamaan Stesen SM07 The Northbank antara Sarawak Metro Sdn Bhd dan IBRACO Berhad di Kuching, hari ini.

“Saya terpaksa mengambil risiko kerana kita mahu membangunkan Kuching sebagai sebuah bandar raya moden dan mesra rakyat.

“Risiko itu adalah risiko yang dikira kerana kita mahu menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih baik untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata, seperti kebanyakan sistem pengangkutan awam di seluruh dunia, KUTS turut akan disokong subsidi kerajaan kerana pengangkutan awam merupakan perkhidmatan untuk rakyat, manakala hasil daripada pembangunan berorientasikan transit (TOD), hak penamaan stesen, pengiklanan dan aktiviti komersial lain akan membantu mengukuhkan kemampanan kewangan sistem itu.

Pada masa sama, beliau berkata penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga ART membuktikan Sarawak berada di landasan yang tepat dalam pembangunan teknologi hijau meskipun pada peringkat awal menerima pelbagai kritikan.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Penamaan Stesen SM07 The Northbank antara Sarawak Metro Sdn Bhd dan IBRACO Berhad di Kuching, hari ini.

Katanya, teknologi pengeluaran hidrogen kini semakin berkembang dengan kos pengeluarannya semakin rendah, manakala pembinaan kemudahan pengeluaran hidrogen di Rembus berjalan mengikut jadual bagi membekalkan tenaga kepada ART.

“Apabila ART beroperasi nanti, ia bergerak tanpa bunyi bising dan tanpa mengeluarkan asap. Itulah yang kita mahukan untuk bandar raya Kuching yang bersih dan selesa,” katanya.

Tambah beliau, sistem ART turut dilengkapi pelbagai teknologi pintar termasuk pembayaran tanpa tunai, jadual perjalanan yang tepat serta kamera keselamatan dalam gerabak yang membolehkan ibu bapa memantau perjalanan anak-anak menerusi telefon pintar.

Beliau berkata, semua inisiatif itu bertujuan meningkatkan keselesaan, keselamatan dan mobiliti rakyat selain menjadikan Kuching sebuah bandar raya moden yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak.

“Sekarang kita sudah mempunyai AirBorneo, dan apabila digabungkan dengan ART, kita akan menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, selamat dan lancar kepada setiap pengunjung yang datang ke Sarawak,” katanya.