KUALA LUMPUR: Sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hingga 7.00 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran pada 3.45 petang memaklumkan cuaca itu dijangka melanda Perak melibatkan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Mualim.
Di Pantai Timur, negeri terlibat ialah Kelantan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh manakala di Terengganu meliputi Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun serta Kemaman.
Amaran sama dikeluarkan bagi Pahang melibatkan Raub, Bentong, Kuantan, Pekan dan Rompin selain Jelebu serta Seremban di Negeri Sembilan.
Ramalan itu juga melibatkan seluruh Selangor manakala di Johor membabitkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing serta Pontian.
Bagi Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu (Kanowit), Mukah (Tanjung Manis dan Daro), Kapit (Song), Miri (Beluru dan Telang Usan) dan Limbang.
Di Sabah, amaran tersebut melibatkan bahagian Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat serta Kudat (Kota Marudu). – Bernama




