SIBU: Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) membuktikan kehebatan mereka di pentas nasional apabila berjaya menghadiahkan satu pingat emas dan enam pingat gangsa pada Kejohanan Tinju Bakat Remaja Peringkat Kebangsaan Edisi Ke-2 dan Jemputan Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Sibu.
Kejayaan tersebut disifatkan sebagai manifestasi hasil pembangunan sukan tinju yang tersusun di bawah kepimpinan Pengerusi TBBC, Awangku Hafizi Awang Azahari, yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan bimbingan kepada atlet muda kelab itu.
Awangku Hafizi turut hadir di venue pertandingan bagi memberikan sokongan secara langsung kepada para petinju TBBC, sekali gus menyuntik semangat kepada mereka yang membawa cabaran Sri Aman dan Sarawak di pentas kebangsaan.
Setakat ini, TBBC meraih satu pingat emas menerusi aksi cemerlang Lazelrius Chung Guang Sheng, selain enam pingat gangsa yang disumbangkan oleh Zulkarnain, Putra Joel, Mifzal, Eween, Gerald Atak dan Rozemy.
Lebih membanggakan, dua lagi petinju muda TBBC, Arief dan Franaldo, berjaya mara ke pentas akhir yang berlangsung hari ini, sekali gus berpeluang menambah koleksi pingat emas kontinjen berkenaan.
Pencapaian cemerlang itu membuktikan usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan atlet di peringkat akar umbi mula membuahkan hasil apabila semakin ramai petinju muda TBBC mampu bersaing dengan atlet terbaik dari seluruh negara.
Sejak menerajui TBBC, Awangku Hafizi memainkan peranan penting dalam mengenal pasti bakat baharu, memperkemas program latihan, memperkukuh kerjasama strategik serta memastikan kebajikan atlet sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau berkata, kejayaan yang dicapai bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada komitmen seluruh pasukan yang terdiri daripada jurulatih, pegawai, ibu bapa, penyokong dan penaja yang sentiasa memberikan sokongan kepada kelab.
Menurutnya, setiap pingat yang dimenangi menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa hadapan.
“Matlamat kami bukan sekadar memburu kemenangan, tetapi membentuk atlet yang berdisiplin, berakhlak, berdaya tahan serta mampu bersaing di pentas yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan kepada TBBC sehingga kelab itu berjaya mencipta pelbagai kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Katanya, kejayaan di Sibu membuktikan bahawa perancangan jangka panjang, latihan yang berterusan serta semangat berpasukan merupakan formula utama dalam melahirkan atlet berkualiti.
Dengan membawa slogan “Saya Berazam, Saya Mampu”Awangku Hafizi yakin TBBC berpotensi melahirkan lebih ramai petinju bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berharap momentum kecemerlangan yang dipamerkan kontinjen TBBC di Kejohanan Tinju Bakat Remaja Peringkat Kebangsaan Edisi Ke-2 dan Jemputan Antarabangsa 2026 akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk menceburi sukan tinju, sekali gus mengharumkan nama Sri Aman, Sarawak dan Malaysia di persada antarabangsa.
Oleh Adi Safarman





