Ekspo Pendidikan FTES buka lebih banyak peluang pendidikan anak Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Ding Koung Hiing bergambar bersama yang lain di Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026 PPD Meradong. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Ekspo Pendidikan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) Yayasan Sarawak 2026 menjadi platform penting dalam membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak-anak Sarawak serta membantu mereka merancang hala tuju pengajian dan kerjaya selaras dengan keperluan pembangunan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pendidikan merupakan pelaburan terbaik kerana mampu mengubah kehidupan individu, keluarga dan masyarakat ke arah yang lebih baik.

“Pendidikan merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan kerana mampu mengubah kehidupan individu, keluarga dan masyarakat.

“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus komited melahirkan modal insan yang berdaya saing melalui penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing merasmikan Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026 PPD Meradong di Dewan Sri Wawasan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor, hari ini. Foto Pusat Khidmat Meradong

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Pendidikan FTES Yayasan Sarawak 2026 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong di Dewan Sri Wawasan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor, hari ini.

Katanya, usaha tersebut bertujuan melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan pembangunan negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan agenda ekonomi digital Sarawak.

“Ekspo ini menjadi platform penting untuk membantu anak-anak merancang hala tuju pendidikan dan masa depan mereka.

“Kerajaan Sarawak juga komited memastikan setiap anak Sarawak mendapat akses kepada pendidikan tinggi tanpa dibatasi masalah kewangan melalui pelbagai inisiatif yang disediakan Yayasan Sarawak,” katanya.

Tambahnya, antaranya ialah pinjaman dan biasiswa pendidikan, selain pelaksanaan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi terpilih mulai 2026, termasuk Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS, Kolej Laila Taib dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Selain itu, katanya, Yayasan Sarawak turut menyediakan bantuan pakaian seragam sekolah, komputer riba dan peranti bagi meringankan beban keluarga serta menyokong pembelajaran digital anak-anak Sarawak.

“Kejayaan agenda pendidikan memerlukan sokongan semua pihak, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), agensi kerajaan dan pihak swasta, demi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Saya menyeru para pelajar supaya memanfaatkan peluang di ekspo ini untuk meneroka peluang pengajian dan penajaan yang ditawarkan, manakala ibu bapa digalakkan terus memberi sokongan kepada anak-anak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan daerah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Meradong, SMK Bandar Bintangor dan semua pihak yang menjayakan ekspo pendidikan tersebut serta berharap inisiatif berkenaan akan terus memberi manfaat kepada kecemerlangan generasi muda.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong (Sektor Perancangan), Nasaruddin Ibrahim; Penolong Ketua Pegawai Digital Yayasan Sarawak, Tc. Hasyim Baidawi yang mewakili Pengarah Yayasan Sarawak; Penolong Pegawai Daerah Meradong, Sonia Hii yang mewakili Pegawai Daerah Meradong dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Bandar Bintangor, Masaraie Nabari yang mewakili pengetua sekolah.

Oleh Earl Anek