SIMANGGANG: Penduduk di beberapa kawasan sekitar Engkilili kini berdepan gangguan bekalan air berikutan penurunan paras air mentah di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Engkilili.
Menurut Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman dalam satu kenyataan media memaklumkan, fenomena kemarau berterusan telah menyebabkan sumber air mentah di muka sauk berkenaan berada pada paras rendah, sekali gus menjejaskan tekanan air ke kawasan agihan.
Antara kawasan yang terjejas merangkumi seluruh kawasan Engkelili, Selindung, Memaloi, Sedarat, Jelukong serta kawasan kediaman yang terletak di kedudukan berbukit dan tinggi.
Bagi menangani situasi berkenaan, pihak JBALB kini sedang melaksanakan langkah kecemasan dengan memasang beg pasir di muka sauk bagi meningkatkan paras air mentah.
Pada masa sama, bantuan bekalan air bersih menerusi lori tangki turut diaturkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas bagi memastikan penduduk setempat terus mendapat bekalan asas.
Sehubungan itu, pihak JBALB menasihati pengguna agar mengambil langkah awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya terutamanya pada waktu malam atau luar waktu puncak.
Pengguna juga diseru agar menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh cuaca kering ini bagi mengelakkan pembaziran.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan atau ingin membuat pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB di talian 082-262211.
Oleh Adi Safarman





