Abang Johari gesa PBB perkukuh persiapan hadapi pilihan raya

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari bersama dua timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Konvensyen Khas Parti PBB Zon Betong, hari ini. Foto TVS

BETONG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan seluruh jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) supaya sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya dengan memperkukuh organisasi serta kepimpinan parti.

Beliau berkata, persiapan itu perlu dilakukan secara berterusan seperti sebuah pasukan bola sepak yang sentiasa menjalani latihan dan menyusun strategi sebelum turun ke gelanggang.

Menurutnya, kejayaan sesebuah pasukan bukan sahaja bergantung kepada keupayaan pemain, malah dipengaruhi latihan yang konsisten, pembahagian peranan yang jelas serta semangat kerja berpasukan.

“Negara seperti Cape Verde mungkin tidak begitu dikenali, tetapi mampu memberi saingan hebat dalam bola sepak kerana mereka sentiasa berlatih dan mempunyai susunan pasukan yang baik.

“Begitu juga dengan kita. Perhimpunan khas ini adalah medan untuk kita membuat persediaan dan menyusun barisan kepimpinan parti,” katanya ketika berucap pada Kovensyen Khas PBB Zon Betong, hari ini.

Abang Johari, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata ahli parti perlu menganggap pilihan raya seperti peperiksaan yang boleh diadakan pada bila-bila masa, justeru setiap kelemahan perlu dikenal pasti dan diperbaiki lebih awal.

“Macam kita di sekolah, sentiasa ada peperiksaan. Bila peperiksaan itu saya pun tidak tahu, tetapi kita mesti membuat ulang kaji. Mana yang lemah kita perbaiki, yang sudah kuat kita teruskan supaya apabila menghadapi peperiksaan nanti, kita memperoleh keputusan yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, perhimpunan khas yang diadakan bukan sekadar menilai pencapaian kerajaan dan parti, malah menjadi platform merancang strategi serta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cabaran pada masa depan.

Dalam masa sama, beliau turut mengajak seluruh kepimpinan dan ahli PBB terus memperkukuh perpaduan serta mengekalkan kestabilan politik sebagai asas kepada kesinambungan pembangunan Sarawak.

Katanya, kestabilan politik yang dinikmati hari ini membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai projek pembangunan, memperkukuh ekonomi serta memperjuangkan hak-hak Sarawak demi kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa PBB akan terus menjadi tunjang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meneruskan agenda pembangunan negeri sekiranya mendapat mandat berterusan daripada rakyat pada pilihan raya akan datang.

Pilihan Raya Negeri Sarawak kali terakhir diadakan pada 18 Disember 2021, menyaksikan GPS memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, tempoh hayat DUN adalah sehingga lima tahun dari tarikh persidangan pertama selepas pilihan raya, menjadikan mandat DUN semasa dijangka berakhir pada awal 2027, manakala tarikh PRN seterusnya tertakluk kepada pembubaran DUN oleh Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Premier Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi