MPB Sri Aman perkasa akses pekebun kepada maklumat industri lada

Facebook
WhatsApp
WAKIL komuniti pekebun bergambar kenangan bersama pegawai Lembaga Lada Malaysia (MPB) Cawangan Sri Aman selepas menerima surat makluman dan tuntutan input pertanian pada Hari Terbuka MPB Cawangan Sri Aman, semalam. Foto MPB

SRI AMAN: Lebih 160 komuniti pekebun di Sri Aman memanfaatkan pelbagai khidmat nasihat, maklumat dan perkhidmatan berkaitan industri lada menerusi Hari Terbuka Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) Cawangan Sri Aman semalam.

Program tersebut menghimpunkan pelbagai pengisian bagi memudahkan pekebun mendapatkan maklumat serta berurusan secara terus dengan agensi berkaitan di satu lokasi.

PEGAWAI Lembaga Lada Malaysia (MPB) menyampaikan taklimat mengenai pembangunan industri lada dan pelbagai inisiatif bantuan kepada komuniti pekebun. Foto MPB

Antara aktiviti yang diadakan termasuk taklimat dan ceramah berkaitan penanaman lada, kaunter perkhidmatan MPB dan Saraspice Sdn. Bhd. (SSB), pameran usahawan bimbingan MPB, pengagihan surat makluman serta tuntutan input pertanian.

Selain itu, program berkenaan turut menyediakan kaunter pendaftaran dan semakan status BUDI Agri-Komoditi bagi membantu pekebun mendapatkan maklumat mengenai inisiatif yang disediakan kerajaan.

KOMUNITI pekebun mendapatkan khidmat semakan dan pendaftaran BUDI Agri-Komoditi di kaunter perkhidmatan. Foto MPB

Penganjuran hari terbuka itu bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada komuniti pekebun selain memudahkan akses kepada pelbagai maklumat dan inisiatif pembangunan industri lada.

Program tersebut merupakan antara usaha MPB dalam memperkasa pembangunan industri lada negara menerusi penyampaian maklumat, khidmat sokongan dan perkhidmatan yang lebih dekat dengan komuniti pekebun.