BAU: Kampung Buddha Kuching yang dibangunkan di atas kawasan seluas 62 ekar bakal diperkasakan sebagai Taman Bodhi Sarawak, sebuah destinasi bertaraf dunia berteraskan pendidikan, kerohanian dan pelancongan mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu bukan sekadar menyediakan kemudahan krematorium dan kolumbarium, malah menjadi ruang yang menyatukan elemen kerohanian, alam semula jadi serta komuniti dalam suasana harmoni.
Menurut beliau, pembangunan berkenaan turut mencerminkan identiti unik Sarawak yang menjunjung nilai perpaduan, saling menghormati dan keterangkuman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama serta budaya.
“Landskap taman yang indah, kolam yang mendamaikan serta pagoda yang mewakili tiga tradisi utama Buddha menjadi simbol perpaduan dalam kepelbagaian.

“Semangat ini mencerminkan Sarawak sendiri, apabila masyarakat daripada pelbagai kaum, budaya dan agama telah hidup bersama dalam suasana saling menghormati sejak beberapa generasi,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin sempena sambutan ulang tahun ke-55 dan majlis perasmian Kampung Buddha Kuching, hari ini.
Beliau berkata, persatuan itu berhasrat untuk membangunkan kawasan berkenaan sebagai Taman Bodhi Sarawak menerusi tiga teras utama, iaitu pelancongan pendidikan dan persidangan, pelancongan kerohanian dan kesejahteraan diri serta pelancongan eko dan komuniti mampan.
Bagi teras pelancongan pendidikan dan persidangan, antara perancangan yang dicadangkan ialah pembinaan dewan konvensyen pelbagai guna bagi penganjuran persidangan Buddha, dialog antara agama, seminar dan program kebudayaan, selain sebuah pusat pameran.
Teras pelancongan kerohanian dan kesejahteraan diri pula melibatkan cadangan pembinaan pusat meditasi dan pusat retret yang dijangka menarik penyertaan dari seluruh Malaysia serta luar negara.
“Pelbagai inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Buddha, malah menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ekonomi dan sosial Sarawak melalui usaha mempelbagaikan penawaran produk pelancongan negeri.
“Ia juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu, merancakkan keusahawanan tempatan serta menghasilkan kesan limpahan ekonomi kepada komuniti di kawasan sekitar, termasuk di daerah Bau dan kawasan berhampiran,” ujarnya.
Beliau menambah, penekanan terhadap pemeliharaan persekitaran semula jadi, pembangunan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta penyediaan ruang untuk kesejahteraan rohani menjadikan Taman Bodhi Sarawak selari dengan agenda pertumbuhan hijau dan pembangunan mampan negeri.
Persatuan itu kini menguruskan tiga bahagian serta 17 seksyen khusus yang menyediakan perkhidmatan termasuk pendidikan Buddha dan pengajaran Dharma, konsultasi perubatan percuma, kaunseling, bantuan kebajikan, pinjaman pendidikan, pembangunan belia serta program mendekati masyarakat.
Abang Johari turut menghargai jasa Presiden pengasas persatuan itu, mendiang Chua Beng Thian, yang telah menumpukan seluruh kehidupannya terhadap pertumbuhan dan pembangunan persatuan sehingga pemergiannya pada Februari 2025.
Beliau berharap Taman Bodhi Sarawak akan terus berkembang sebagai pusat keamanan, pembelajaran, keharmonian dan kehidupan mampan untuk tahun-tahun akan datang.
Oleh Adele Rissa





