Bomba perkasa budaya keselamatan kebakaran dalam kalangan kanak-kanak

Facebook
WhatsApp
SEBAHAGIAN murid Tadika Methodist Nyelong Park bergambar memakai pakaian seragam bomba selepas menyertai program keselamatan kebakaran yang dikendalikan pihak bomba. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Seramai 89 warga Tadika Methodist Nyelong Park menyertai latihan pengungsian bangunan, ceramah serta demonstrasi keselamatan kebakaran yang dikendalikan pihak bomba sebagai usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 11.40 pagi itu dikendalikan oleh tiga anggota bomba dengan memberi penekanan terhadap tindakan awal menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

SEORANG murid Tadika Methodist Nyelong Park diajar anggota bomba teknik merangkak ketika terperangkap dalam bangunan dipenuhi asap semasa latihan keselamatan kebakaran. Foto BBP Sarikei

“Seramai 82 murid serta tujuh guru dan kakitangan menyertai program ini.

“Program ini bertujuan memastikan murid, guru dan kakitangan sekolah mendapat pendedahan mengenai tatacara pengungsian bangunan, kaedah menyelamatkan diri sekiranya terperangkap, penggunaan alat pemadam api serta pengetahuan asas berkaitan bahaya kebakaran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, peserta turut diberi tunjuk ajar mengenai teknik “berhenti, rebah dan guling” serta kaedah merangkak ketika terperangkap di dalam bangunan yang dipenuhi asap.

MURID Tadika Methodist Nyelong Park diberi pendedahan mengenai kenderaan operasi bomba dalam program keselamatan kebakaran. Foto BBP Sarikei

“Pendidikan keselamatan kebakaran perlu diterapkan sejak peringkat awal agar kanak-kanak lebih bersedia, berdisiplin dan tidak panik sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Latihan pengungsian bangunan secara berkala juga membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan pihak sekolah selain memastikan prosedur kecemasan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Oleh Earl Anek