BINTANGOR: Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin disaran terus memperkukuh legasi kecemerlangan yang dibina sejak sembilan dekad lalu menerusi kerjasama erat antara warga sekolah, ibu bapa, alumni dan masyarakat dalam melahirkan generasi berilmu serta berakhlak mulia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sambutan Ulang Tahun Ke-90 sekolah itu bukan sekadar meraikan usia penubuhannya, malah menjadi wadah menghargai jasa dan pengorbanan semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan institusi berkenaan.
“Sambutan ulang tahun ke-90 ini bukan sekadar meraikan usia penubuhan sekolah, malah menjadi wadah untuk menghargai jasa dan pengorbanan semua pihak yang telah bersama-sama membina serta mempertahankan legasi kecemerlangan SK Abang Amin sepanjang sembilan dekad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-90 SK Abang Amin di sini, malam tadi.
Kuong Hiing turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Guru Besar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta seluruh jawatankuasa pelaksana atas kejayaan menganjurkan majlis berkenaan.
Beliau berkata, SK Abang Amin kini mempunyai 267 murid termasuk murid prasekolah, selain dibantu 36 guru serta anggota kumpulan pelaksana yang komited memberikan pendidikan berkualiti.
“Walaupun jumlah murid tidak lagi seperti dahulu, saya yakin komitmen seluruh warga sekolah dalam menyediakan pendidikan berkualiti tetap utuh.
“Sepanjang 90 tahun penubuhannya, SK Abang Amin telah melalui pelbagai perubahan dan cabaran. Namun, peranannya sebagai institusi yang mendidik serta membentuk generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdisiplin tidak pernah berubah,” katanya.
Beliau yakin legasi kecemerlangan yang dibina selama ini akan terus dipertahankan bagi melahirkan lebih ramai anak didik yang berjaya serta mampu menyumbang kepada masyarakat, Sarawak dan negara.
“Kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada guru semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, PIBG, alumni serta seluruh masyarakat.
“Dengan semangat kebersamaan dan sokongan berterusan daripada semua pihak, saya yakin SK Abang Amin akan terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran khas berjumlah RM5,000 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-90 SK Abang Amin.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong (Sektor Perancangan), Nasaruddin Ibrahim Guru Besar SK Abang Amin, Alim Johan serta Pengerusi PIBG SK Abang Amin, Musa Jenun.





