MUKAH: Dua wakil rakyat tempatan telah menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Bedengan Matading Kecil pada petang Isnin lalu.
Mereka ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah & Sarawak merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Pegawai Khas dari Pusat Khidmat Mukah, Almahakim Norshidi, telah mewakili Hanifah untuk menyerahkan sumbangan tersebut, manakala Pegawai Pusat Khidmat Balingian, Che Ghazali Arbi mewakili Yakub.
Hanifah menyumbang barangan makanan, peralatan dapur, keperluaan asas dan wang tunai, manakala Yakub menyumbang keperluan segera dan juga wang tunai.
Sumbangan ini telah diserahkan kepada Ketua Kampung, Sahari Morshid, yang juga merupakan pemilik rumah yang musnah dalam kebakaran tersebut.
Upacara ringkas penyerahan sumbangan telah dikelola oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah dan diadakan di tapak kebakaran. Sumbangan lain juga diterima daripada pelbagai pihak dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama ingin membantu meringankan beban pada mangsa.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Residen merangkap Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili, Penolong Pegawai Kebajikan Bahagian Mukah Shahrill Eddyson Mohamad Hatta, Ketua Cawangan Tabung Baitulmal Mukah, Osman Imun, Penghulu Ahmad Mahmud, Amiey Kaliew dari Skuad Sayang Balingian, dan wakil-wakil dari Masjid Setia Raja Mukah, Urusetia Saudara Kita Balingian dan Kelab Basikal.
Oleh HENRY B SIYU