JAKARTA: Kedutaan Malaysia di Jakarta sedang berusaha mendapatkan akses konsular kepada seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia atas dakwaan kesalahan pengedaran dadah selepas ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Rabu.
Kedutaan itu memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima pemberitahuan rasmi daripada Direktorat Jenayah Narkotik di bawah Badan Siasatan Jenayah (Bareskrim) Polis Negara Indonesia berhubung penahanan warganegara Malaysia itu di Terminal 3 lapangan terbang berkenaan.
“Pihak Kedutaan menghormati proses undang-undang Indonesia dan sedang berurusan dengan pihak berkuasa Indonesia untuk akses konsular kepada warganegara Malaysia berkenaan,” menurut kenyataan kedutaan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas pihak berkuasa Indonesia mengumumkan dalam sidang media di sini bahawa juruterbang Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan pada 29 Julai selepas didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram ekstasi bernilai sekitar Rp60 bilion (RM13.67 juta).
Pihak berkuasa berkata dadah itu, yang terdiri daripada kira-kira 70,114 pil ekstasi dan empat gram kasar metamfetamin, didakwa disembunyikan di dalam bagasi suspek dan ditemukan semasa pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Penyiasat berkata siasatan awal menunjukkan suspek mungkin pernah menyeludup dadah ke Indonesia sebelum ini dan dipercayai merupakan sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah antarabangsa, dengan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti anggota sindiket lain serta penerima dadah berkenaan di Indonesia. – Bernama





