Lebih daripada sekadar latihan, ia persediaan menyelamatkan nyawa

Facebook
WhatsApp
LATIHAN keselamatan kebakaran di SMK Kidurong memberi pendedahan kepada lebih 1,000 pelajar dan guru mengenai prosedur pengungsian bangunan serta tindakan awal ketika kecemasan.

BINTULU: Bunyi loceng kecemasan yang bergema di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong baru-baru ini bukan petanda berlakunya kebakaran, sebaliknya menjadi isyarat bermulanya satu latihan yang membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar memenuhi jadual aktiviti sekolah.

Dalam tempoh beberapa minit, lebih 1,000 pelajar dan guru bergerak keluar dari bangunan mengikut laluan yang ditetapkan sebelum berkumpul di kawasan selamat dengan teratur di bawah pemantauan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Program ceramah pengungsian bangunan, demonstrasi penggunaan alat pemadam api dan taklimat kesedaran keselamatan kebakaran itu disertai seramai 1,090 peserta, terdiri daripada 1,024 pelajar dan 66 guru.

WARGA sekolah mencuba penggunaan alat pemadam api di bawah bimbingan anggota BBP Kidurong dalam demonstrasi keselamatan kebakaran yang diadakan di SMK Kidurong baru-baru ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong, Rary Binjie berkata, program seumpama itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan warga sekolah terhadap aspek keselamatan kebakaran.

“Latihan pengungsian bangunan memberi pendedahan kepada pelajar dan guru mengenai tindakan keluar bangunan secara teratur ketika berlaku kecemasan.

“Manakala demonstrasi penggunaan alat pemadam api memberi kefahaman tentang kaedah penggunaan yang betul sebagai tindakan awal mengawal kebakaran kecil,” katanya.

PELAJAR SMK Kidurong bergerak ke kawasan berkumpul mengikut laluan yang ditetapkan semasa latihan pengungsian bangunan sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.

Beliau berkata, taklimat yang disampaikan turut memberi pendedahan mengenai punca kebakaran, langkah pencegahan serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran di sekolah atau di rumah.

Kesedaran mengenai keselamatan kebakaran, katanya, perlu dipupuk sejak di bangku sekolah agar setiap individu lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan serta mampu bertindak dengan tenang dan teratur.

WARGA SMK Kidurong mengosongkan bangunan secara teratur semasa latihan pengungsian yang dikendalikan oleh anggota BBP Kidurong.

Program seumpama itu juga menjadi platform kepada JBPM untuk mendekati masyarakat melalui pendekatan pendidikan, sekali gus memperkukuh budaya keselamatan dalam komuniti.

Hakikatnya, latihan yang berlangsung hanya beberapa jam itu mungkin kelihatan seperti rutin. 

Namun ilmu yang diperoleh berpotensi menjadi bekalan penting apabila berdepan situasi sebenar, membuktikan bahawa setiap latihan bukan sekadar simulasi, sebaliknya satu persediaan untuk menyelamatkan nyawa.

Oleh Carolyne Utih