SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menziarahi seorang mangsa serangan buaya yang sedang menerima rawatan di Hospital Sarikei, hari ini, sambil menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.
Beliau berkata, mangsa, Razeli Emun, mengalami kecederaan serius selepas disambar seekor buaya ketika menangkap ikan di Sungai Krian berhampiran Rumah Panjang Galing, Lubok Nibong, baru-baru ini.
Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas mencucuk mata buaya berkenaan sehingga haiwan tersebut melepaskan gigitannya.
“Selepas kejadian, mangsa dibawa ke Hospital Saratok sebelum dirujuk ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut berikutan kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Mohamad Duri berkata, beliau bersama rombongan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Zon Saratok hadir menziarahi mangsa bagi memberikan sokongan moral di samping menghulurkan bantuan kepada keluarga.
Beliau berharap sumbangan yang disampaikan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung mangsa sepanjang tempoh menerima rawatan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan penduduk, khususnya nelayan dan mereka yang mencari rezeki di Sungai Krian serta anak-anak sungai di kawasan itu, supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di sungai.
Katanya, langkah berjaga-jaga amat penting memandangkan kejadian serangan buaya masih menjadi ancaman di beberapa kawasan sungai di Sarawak.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang melancarkan operasi menangkap buaya yang dipercayai mengganggu aktiviti harian penduduk susulan insiden berkenaan.
Beliau berharap operasi tersebut dapat diselesaikan dengan segera bagi menjamin keselamatan penduduk setempat serta mengurangkan risiko kejadian seumpama itu berulang pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman




