MISPRO perkasa pengurusan masjid melalui pendigitalan

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) pada Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Tengah di Dataran Pehin Setia Raja, Mukah hari ini. Foto UKAS

MUKAH: Pengurusan masjid di seluruh Sarawak bakal diperkasakan menerusi MISPRO, aplikasi digital yang dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Aplikasi berkenaan dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) Zon Tengah (Mukah-Kapit) di Dataran Pehin Setia Raja, di sini, hari ini.

MISPRO dibangunkan hasil kerjasama HPCS Sdn. Bhd. dan Affin Islamic Bank Berhad sebagai satu inisiatif memperkukuhkan pengurusan masjid melalui penggunaan teknologi digital.

“Kita akan melancarkan MISPRO, kerjasama Majlis Islam dengan Affin Islamic Bank.

“Ia akan menjadi satu strategik bagi kita meningkatkan khidmat kita kepada masyarakat Islam dan juga mungkin bukan Islam melalui kerjasama di antara Affin Islamic Bank dan juga Majlis Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Zon Tengah di Dataran Pehin Setia Raja, Mukah hari ini. 

Abang Johari berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah strategik untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat menerusi pendekatan yang lebih moden dan tersusun.

Beliau menambah, usaha pendigitalan itu selaras dengan keperluan semasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sehubungan itu, MISPRO dibangunkan bagi membantu penyelarasan pentadbiran masjid serta memudahkan pengurusan perkhidmatan menerusi sistem yang lebih tersusun.

Program Ziarah Mahabbah MIS Zon Tengah yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Julai hingga 1 Ogos membawa tema “Ummah Maju Makmur” dengan pelbagai pengisian melibatkan masyarakat setempat.

Antara pengisian program termasuk sesi Pesan Mufti, Forum Keluarga, Innovation Exploration (STEM), Pameran Perkhidmatan Agensi Islam serta Mini Education Fair.

Program berkenaan turut menampilkan Program Aura Wanita dan demonstrasi masakan tradisi Melanau oleh Chef Muluk, selain beberapa aktiviti susulan yang akan diteruskan di sekitar Mukah dan Kapit sepanjang Ogos hingga September.

Menurut MIS, Ziarah Mahabbah merupakan platform untuk memperkukuhkan hubungan antara agensi Islam dan masyarakat, di samping mengenal pasti isu, cabaran serta keperluan komuniti bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Program itu akan diteruskan ke Zon Tengah melibatkan Sibu, Sarikei dan Betong sebelum diperluaskan ke Zon Utara sebagai usaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan Islam serta menyokong aspirasi “Ummah Maju Makmur” di Sarawak.

Oleh Adele Rissa