Jambatan Sungai Paku RM36.9 juta pacu mobiliti, ekonomi Spaoh

Facebook
WhatsApp
RASMI DIBUKA... Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika merasmikan pembukaan Jambatan Sungai Paku kepada lalu lintas di Spaoh, hari ini. Pembukaan jambatan itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk di Spaoh, Betong, Debak, Pusa dan kawasan sekitarnya. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Pembukaan Jambatan Sungai Paku kepada lalu lintas hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur di Daerah Kecil Spaoh, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan, mempercepatkan mobiliti penduduk serta membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan di kawasan itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata jambatan baharu yang telah lama dinantikan penduduk itu berjaya menyelesaikan masalah sistem berhenti dan beri laluan di jambatan lama yang sebelum ini menjadi kekangan kepada pengguna jalan raya.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas berucap pada Majlis Pembukaan Jambatan Sungai Paku kepada Lalu Lintas di Spaoh, hari ini. Foto Douglas Uggah Embas Official

Menurut beliau, pembukaan jambatan tersebut membolehkan aliran trafik menjadi lebih lancar, selamat dan selesa, di samping meningkatkan kecekapan rangkaian jalan raya di kawasan berkenaan.

“Jambatan ini memang telah lama dinantikan oleh penduduk. Sebelum ini, pengguna jalan raya terpaksa berhadapan dengan sistem berhenti dan beri laluan di jambatan lama.

RASMI DIBUKA… Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika merasmikan pembukaan Jambatan Sungai Paku kepada lalu lintas di Spaoh, hari ini. Pembukaan jambatan itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk di Spaoh, Betong, Debak, Pusa dan kawasan sekitarnya. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Kini perjalanan menjadi lebih lancar, lebih selamat dan lebih selesa,” katanya selepas Majlis Pembukaan Jambatan Sungai Paku kepada Lalu Lintas di sini, hari ini.

Uggah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata kemudahan baharu itu turut membolehkan kenderaan berat menggunakan laluan berkenaan tanpa perlu melalui jalan alternatif yang lebih jauh, sekali gus menjimatkan masa perjalanan dan kos operasi.

Beliau berkata, projek bernilai RM36.9 juta itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

JAMBATAN baharu bernilai RM36.9 juta itu dijangka memperkukuh jaringan perhubungan, merancakkan ekonomi setempat serta membuka potensi pembangunan pelancongan di kawasan berkenaan. Foto Douglas Uggah Embas Official

Katanya, pembukaan jambatan tersebut diyakini mampu menarik lebih banyak aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan, selain memperkukuh peranan Spaoh sebagai antara kawasan yang berkembang pesat di Bahagian Betong.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan jambatan lama akan dinaik taraf sebagai laluan pejalan kaki, manakala kawasan Tebingan Spaoh akan dibangunkan bagi menyediakan ruang rekreasi kepada penduduk serta menjadi mercu tanda baharu daerah itu.

“Saya yakin projek ini akan membawa limpahan manfaat kepada masyarakat serta merancakkan lagi ekonomi setempat, di samping meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui kemudahan infrastruktur yang lebih moden,” katanya.

Projek yang dilaksanakan oleh D.A.L Keluarga Sdn. Bhd. itu merangkumi pembinaan jambatan gerbang keluli satu bentang sepanjang 100 meter, pelebaran jalan pendekat, pembinaan tembok perlindungan tebing sungai, naik taraf jambatan lama sebagai laluan pejalan kaki serta kerja-kerja pemindahan utiliti dan pemasangan sistem elektrik.

Jambatan berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna Jalan Tanjung Sebekut, termasuk penduduk Spaoh, Betong, Debak, Pusa dan kawasan sekitarnya.

Selain meningkatkan kelancaran perhubungan, projek itu turut memperkukuh potensi pembangunan pelancongan menerusi pembangunan Tebingan Spaoh yang bakal menjadi tarikan baharu di daerah tersebut.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; serta Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.

Oleh Adi Safarman